'Tiada isu jika Khairy tanding di Kuala Pilah'

Hasan Malek
Hasan Malek
A
A
A

KUALA PILAH - UMNO Kuala Pilah perlu menerima siapa saja calon termasuklah Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sekiranya beliau dipilih bertanding di Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Seri Hasan Malek berkata, sekarang bukan waktunya untuk mempertikaikan soal calon kerana paling penting adalah memastikan kemenangan kepada UMNO dan BN.

"Pada saya KJ pemimpin yang baik dan saya tahu macam mana dia bekerja kerana pernah duduk dalam kabinet bersamanya ketika menjadi menteri dahulu.

"Pandangan saya tiada masalah KJ diletakkan sebagai calon Kuala Pilah dan yang penting siapa saja calonnya kita sebagai ahli parti perlu sokong kerana telah diputuskan oleh pucuk pimpinan parti," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau juga tidak melihat isu Khairy sebagai orang luar kerana sebelum ini terdapat pemimpin UMNO lain di Kuala Pilah yang bertanding di daerah lain.

Tambahnya, Khairy juga merupakan seorang pemimpin muda UMNO yang berpotensi dan tiada sebab untuk beliau ditolak sekiranya dipilih sebagai calon.

"Pada saya pentingnya kita kena pastikan calon UMNO ini menang. Kalau Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sekalipun yang bertanding di Kuala Pilah, kita kena sokong.

"Jangan lagi buat macam dulu. Saya pada PRU14 kalah tipis pun bukan kerana pihak lawan, tapi kerana orang-orang UMNO sendiri yang mengkhianat dan marah kerana saya sudah beberapa penggal bertanding," katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru itu, Hasan mengingatkan ahli parti supaya jangan terlalu asyik berpolitik dan sebaiknya menggunakan ruang yang ada untuk bersama-sama menguatkan parti.

Menurutnya, PRU15 merupakan pilihan raya paling penting buat UMNO selepas tewas pada PRU14 dan sepatutnya tiada lagi isu yang boleh merugikan parti.

"Pengalaman PRU14 lalu sepatutnya mengajar kita dan perbetulkan kesilapan dilakukan dengan mengembalikan semangat setia kepada parti.

"Jadi, sepatutnya tiada isu kalau KJ bertanding selagi dia orang UMNO kita kena sokong.

"Kalau tak puas hati suarakan dalam mesyuarat bahagian, ini semuanya berebut nak jadi calon. Bila tak dipilih, nanti protes," katanya.

Pada PRU14, Hasan tewas 200 undi dengan calon Bersatu, Datuk Eddin Syazlee Shith yang memenangi 18,045 undi.

Parlimen Kuala Pilah mempunyai lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mana empat milik BN iaitu Juasseh, Sri Menanti, Senaling, Johol dan satu di Pilah milik Pakatan Harapan (PH).

Sebelum ini khairy mengumumkan memberi laluan kepada Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan untuk bertanding di Parlimen Rembau pada PRU15.

Ia sekali gus menjadi teka-teki kerusi mana yang akan ditandingi Khairy.

Namun, tiga kerusi Parlimen lain di Negeri Sembilan yang disebut-sebut akan ditandingi Khairy iaitu Kuala Pilah, Tampin dan Port Dickson.

Beliau juga baru-baru ini memberi gambaran akan mempertaruhkan nasib pada kerusi yang dimenangi oleh parti lawan pada PRU14 lalu.

Tanpa mendedahkan kerusi di Parlimen mana, Khairy berkata, buat masa ini terdapat tiga pilihan kawasan yang sedang dipertimbangkan dan beliau secara terbuka menerima cabaran berkenaan.