Ikatan Anak Mersing dekati anak muda

Muhammad Syukri (kiri) bergambar bersama pemenang cabutan bertuah iaitu sebuah motosikal pada program Mersing Konvoi Motosikal Berselawat pada Ahad.
Muhammad Syukri (kiri) bergambar bersama pemenang cabutan bertuah iaitu sebuah motosikal pada program Mersing Konvoi Motosikal Berselawat pada Ahad.
A
A
A

MERSING - Ikatan Anak Mersing turun padang bagi mendekati golongan muda di daerah ini menerusi Mersing Konvoi Motosikal Berselawat di pantai Air Papan pada Ahad.

Pengerusinya, Muhammad Syukri Ibrahim berkata, program tersebut merupakan salah satu ikhtiar mengajak belia dan warga Mersing menyemarakkan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.

Katanya, lebih 600 belia menyertai Mersing Konvoi Motosikal Berselawat yang turut menyelitkan pelbagai antaranya pertunjukan motosikal dan cabutan bertuah.

"Sempena sambutan bulan Maulidur Rasul, Ikatan Anak Mersing yang merupakan sebuah badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif mendekati masyarakat di daerah, tampil dengan kelainan menganjurkan acara Mersing Konvoi Motosikal Berselawat.

"Program ini dianjurkan bagi menyemai semangat cintakan Rasulullah S.A.W. Semangat ini harus dipupuk dalam jiwa generasi muda," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Muhammad Syukri berkata, Mersing Konvoi Motosikal Berselawat juga dapat mengajak golongan muda ke arah aktiviti yang lebih sihat dalam dunia permotoran khususnya di kawasan luar bandar.

Muhammad Syukri (empat dari kanan) bersama peserta Mersing Konvoi Motorsikal Berselawat.
Muhammad Syukri (empat dari kanan) bersama peserta Mersing Konvoi Motorsikal Berselawat.

"Ternyata program yang diadakan di pantai Air Papan yang merupakan lokasi pelancongan berjaya menarik belia dan pemuda dari seluruh daerah antara Gugusan Felda Tenggaroh, Nitar, Tanah Abang dan Endau.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai sebuah NGO, kami mahu terus dekat di hati belia dan pemuda di Mersing. Program dianjurkan perlu sesuai dengan apa yang mereka mahukan," katanya.

Tambah Syukri, Ikatan Anak Mersing akan menganjurkan Karnival Rakyat Gugusan Felda Tenggaroh dengan program melibatkan pelbagai peringkat usia dan golongan.

Dalam pada itu, Ikatan Anak Mersing akan terus mendampingi warga Mersing dengan pelbagai program yang bersesuaian pada masa hadapan.

"Ketika pandemik Covid-19, kami sudah membantu lebih 5,000 penduduk di Mersing dengan mengagihkan bantuan makanan dan keperluan harian.

"Selain itu, pada awal bulan ini, kami telah menganjurkan Mersing Fun Run 2022 dengan penyertaan lebih 1,000 penduduk dan pelancong," katanya.