'Muhyiddin nak tipu lagi' - Amanah

Mohd Hisyamuddin
Mohd Hisyamuddin
A
A
A

KOTA BHARU - Parti Amanah Negara (Amanah) beranggapan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi cuba menipu rakyat apabila berjanji akan memberikan royalti petroleum kepada Kelantan jika Perikatan Nasional (PN) mentadbir negara.

Naib Ketua Pemuda Amanah, Mohd Hisyamuddin Ghazali turut mempersoalkan Kelantan yang didakwa dinafikan mendapat royalti penuh petroleum semasa Muhyiddin menjadi Perdana Menteri.

Dakwanya, permainan istilah antara royalti dan wang ihsan juga tidak mampu diselesaikan oleh Pengerusi PN semasa menjawat jawatan Perdana Menteri tersebut.

“Masa jadi Perdana Menteri, beliau boleh bagi Sarawak RM2.9 bilion cukai Cukai Jualan Negeri (SST) Petronas tetapi Kelantan tidak dapat.

“Kelantan dianaktirikan waktu mereka ada kuasa. Cuba menipu rakyat sekali lagi? Jangan haraplah. Tidak boleh beri kepercayaan langsung PN akan ditunaikan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, di sini, pada Ahad.

Mohd Hisyamuddin juga adalah Aktivis Save Kelantan dan Pengasas Gabungan Profesional Rakyat Kelantan Tuntut Royalti (Gegar) serta Royalti (R).

Beliau mendakwa tindakan Muhyiddin memberi royalti dan cukai SST kepada Sarawak berunsur politik semata-mata bagi mendapat sokongan 18 Ahli Parlimen Sarawak untuk menjadikan beliau sebagai Perdana Menteri ‘pintu belakang’.

“Bertuah Kelantan waktu Pakatan Harapan (PH) memerintah beri RM418.9 juta atau lima peratus (%) duit ke akaun kerajaan Kelantan pada tahun 2019 dan 2020.

Artikel Berkaitan:

“Terengganu juga dapat royalti RM1 billion lebih waktu PH memerintah,” katanya.

Menurutnya, Pas juga dikatakan tidak dapat menunaikan banyak perkara termasuk isu royalti minyak dan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU 355).

“Pas di Parlimen dipercayai seperti ‘tunggul kayu’. PH sudah buktikan waktu memerintah Malaysia, mereka bagi duit 5% bayaran tunai kepada Terengganu dan Kelantan yang dinafikan sebelum itu.

“Sokongan penuh calon PN, Datuk Seri Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri. Insya-ALLAH Kelantan dapat royalti penuh,” katanya.

Untuk rekod, tuntutan royalti minyak diperjuangkan kerajaan Kelantan sejak pemerintahan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan sehingga kini dikatakan belum penuhi kerajaan persekutuan.

Pada awal tahun ini, kerajaan Kelantan menjelaskan, negeri itu masih merundingkan bayaran wang royalti petroleum bersama Putrajaya.

Mereka berkata, wang bernilai RM400 juta yang diberikan kerajaan pusat kepada Kelantan sebelum ini merupakan wang ihsan dan bukanlah bayaran tunai royalti petroleum seperti yang dituntut.