Piala Sultan Johor: Australia amuk habis Malaysia

Pemain Malaysia, Muhammad Mamat dicabar pemain Australia pada Perlawanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) di Stadium Hoki Taman Daya pada Ahad. - Foto Bernama
Pemain Malaysia, Muhammad Mamat dicabar pemain Australia pada Perlawanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) di Stadium Hoki Taman Daya pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

MALAYSIA terus berputih mata selepas gagal meraih sebarang mata apabila dikecewakan 0-8 kepada Australia yang berpesta gol pada perlawanan hari kedua Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) di Stadium Hoki Taman Daya di sini, malam ini.

Pada awal perlawanan, skuad remaja negara tampil bersemangat dan agresif, malah pemain pertahanan Muhammad Faris Harizan, Wan Muhammad Najmie Ahmad Dzaib, T Perabu, Azmilmuizzudin Misron dan penjaga gol Mohamad Rafaizul Mohamad Saini berjaya menggagalkan tiga percubaan pukulan sudut penalti yang diperoleh pasukan pelawat pada suku pertama.

Namun, barisan hadapan skuad remaja negara gagal menemukan rentak setiap kali menyerang menyebabkan percubaan untuk jaringan tidak dapat disempurnakan.

Pada minit ke-19 suku kedua, skuad hoki pelawat kendalian Jay Stacy berjaya memecah kebuntuan menerusi gol padang pertama hasil jaringan Liam Hart dan terus bangkit dengan jaringan kedua menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Jake Lambeth.

Pada minit ke-36 dan ke-44 Australia yang pernah menjadi juara kejohanan itu pada 2016 dan 2017 terus menjaringkan gol masing-masing menerusi David Hubbard dan pukulan sudut penalti yang disempurnakan Cooper Burns, hasil pukulan Hart.

Semangat anak-anak buah Muhamad Amin Rahim dilihat terus merudum pada suku keempat, sehingga Australia berjaya menjaringkan dua gol padang berselang dua minit, hasil pukulan Hart pada minit ke-47 dan Jack Holland pada minit ke-49.

Berbaki lima minit sebelum wisel penamat, Burns sekali gus mencipta hatrik selepas dua kali menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-55 dan ke-58, sebelum rakan sepasukan Brodee Foster menjaringkan gol padang yang juga gol kelapan bagi Australia, seminit kemudian.

Pada aksi pembuka tirai semalam, Malaysia terpaksa akur dengan kekuatan naib juara edisi kesembilan, India, apabila tewas 2-5.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Jepun yang membuat kemunculan kali kelima pada kejohanan itu, memperoleh tiga mata pertama selepas mengejutkan juara bertahan 2019 Great Britain dengan 2-1.

Pasukan matahari terbit itu mendapat dua gol padang pada suku pertama dan kedua, menerusi Hiro Saito pada minit ke-17 dan Tsubasa Tanaka pada minit ke-27 manakala gol tunggal pasukan kendalian Jon Bleby dijaringkan Max Anderson seminit sebelum babak suku kedua berakhir.

Turut mencipta kejutan ialah pasukan Afrika Selatan yang berjaya mengalahkan pasukan pilihan, India, 5-4 dalam perlawanan kedua mereka pada kejohanan ini.

Perlawanan akan bersambung pada Selasa dengan Great Britain bertemu Australia; Jepun berdepan India dan tuan rumah menentang Afrika Selatan. - Bernama