Muda serah bukti kepada polis

Syed Saddiq berkongsi gambar menunjukkan kumpulan yang didakwa mencetuskan provokasi. Gambar kecil: Syed Saddiq
Syed Saddiq berkongsi gambar menunjukkan kumpulan yang didakwa mencetuskan provokasi. Gambar kecil: Syed Saddiq
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) telah membuat laporan polis berhubung insiden provokasi yang berlaku ketika ceramah politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) anjuran parti itu di Parit Jawa, Muar, Johor pada Sabtu.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya turut menyerahkan beberapa bukti kepada pihak polis.

“Kami serahkan kepada pihak polis untuk jalankan siasatan. Terima kasih kepada pihak polis atas bantuan dalam insiden provokasi ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Ahad.

Pada Sabtu, Majlis Malam Mesra Muo anjuran Muda di Dewan Yong Sheng, Muar dicemari insiden provokasi membabitkan sekumpulan lelaki berbaju hitam.

Syed Saddiq berkongsi gambar antara individu yang didakwa tercedera akibat kejadian provokasi pada Sabtu.
Syed Saddiq berkongsi gambar antara individu yang didakwa tercedera akibat kejadian provokasi pada Sabtu.

Syed Saddiq berkata, provokasi itu merupakan kali kedua berlaku dalam tempoh sebulan pada program membabitkan partinya.

Dakwanya, kejadian kali ini turut menyebabkan berlakunya insiden tolak menolak sehingga ada individu tercedera, manakala terdapat juga kerosakan terhadap kereta tetamu yang hadir.

“Kami tolak sekeras-kerasnya budaya politik gengsterisme. Tak sokong tak apa. Jangan gunakan kekerasan, gunakan hujah,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Polis pada Ahad mengesahkan berlaku insiden provokasi ketika Program Ceramah Malam Mesra Muo dianjurkan Muda di sebuah dewan restoran Muar pada malam Sabtu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kekecohan berlaku pada jam 9.35 malam dipercayai bermula apabila tetamu di dalam dewan keluar dan bersemuka dengan kumpulan berada di luar.

Menurutnya, kira-kira 30 individu dikenal pasti terbabit dalam kejadian provokasi berkenaan.

Katanya, polis akan menjalankan siasatan di bawah mana-mana undang-undang yang berkuat kuasa termasuk di bawah Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 terhadap insiden tersebut.