Maritim tahan dua bot nelayan asing Vietnam

A
A
A

KUALA TERENGGANU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu menahan dua bot nelayan asing Vietnam dalam rondaan Op Kuda Laut dan Op Naga Barat di sekitar perairan Terengganu pada Sabtu.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Terengganu, Komander Maritim Ariffin Ghazali berkata, bot tersebut ditahan pada jam 4.30 petang di kedudukan kira-kira 44.5 batu nautika dari Kuala Terengganu.

Menurutnya, kedua-dua bot ditahan ketika sedang bertambat antara satu sama lain.

"Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot tersebut dikendalikan 12 kru termasuk tekong warga Vietnam berusia antara 21 hingga 63 tahun tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

"Tekong dua bot tersebut juga gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran yang sah dan disyaki telah melakukan aktiviti menangkap ikan secara haram di perairan Malaysia.

"Antara yang dirampas adalah bot, pelbagai hasil laut seperti sotong dan sotong kering dan diesel dengan nilai rampasan keseluruhan bagi dua bot kira-kira RM1 juta," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Ariffin berkata, bot bersama 12 kru, tekong dan hasil tangkapan telah ditahan serta diiring ke Jeti Pusat Tahanan Vesel, Maritim Negeri Terengganu untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran daripada Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/1963 kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah.

Artikel Berkaitan: