Pahang tarik pelaburan RM20.56 bilion bukti kejayaan BN

Reaksi Ismail Sabri ketika menghadiri Majlis Perasmian Pecah Tanah Program Perumahan Rakyat (PPR) di Kem Rejimen ke-34 Artileri Diraja pada Sabtu. - Foto Bernama
Reaksi Ismail Sabri ketika menghadiri Majlis Perasmian Pecah Tanah Program Perumahan Rakyat (PPR) di Kem Rejimen ke-34 Artileri Diraja pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A
BERA - Kejayaan mengutip hasil mencecah RM1 bilion dan menarik pelaburan berjumlah RM20.56 bilion merupakan bukti kerajaan BN di Pahang dalam memastikan pembangunan ekonomi berterusan pada masa depan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, kejayaan itu juga membuktikan kemampuan Kerajaan Negeri Pahang dalam memelihara kemakmuran dan kesejahteraan rakyatnya termasuklah kebajikan warga Keluarga Malaysia Bera.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pentadbiran Kerajaan Negeri kerana buat pertama kali berjaya mengutip hasil mencecah RM1 bilion dan menarik pelaburan berjumlah RM20.56 bilion seperti diumumkan oleh Kerajaan Negeri dalam Belanjawan Pahang Tahun 2023,” katanya sewaktu berucap merasmikan majlis Pecah Tanah Program Perumahan Rakyat (PPR) Bera di sini pada Sabtu.

Turut hadir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Timbalannya, Datuk Seri Ismail Abd Mutalib.

Justeru Perdana Menteri mahu rakyat Pahang terus memastikan kerajaan BN kekal diberi mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kerana adalah penting mengekalkan mandat kerajaan negeri yang sama dengan kerajaan pusat bagi memastikan semua pembangunan dapat dirancang dan diteruskan.

"Saya kata begini kerana pada PRU15 nanti, Pahang juga akan memilih kerajaan negeri, jika begini hebatnya kerajaan Pahang, saya percaya kerajaan negeri sekarang akan terus memerintah Pahang," katanya.

Perdana Menteri turut mengumumkan satu lagi inisiatif Keluarga Malaysia iaitu Projek PPR Bera bagi memenuhi keperluan tempat kediaman, untuk mereka yang berkelayakan dan berpendapatan rendah yang belum memiliki rumah.

"Projek PPR Bera merupakan satu manifestasi kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang terjalin sejak sekian lama,” kata penyandang kerusi Parlimen Bera itu.

Ismail Sabri berkata, projek PPR Bera yang melibatkan 1,000 rumah teres tiga bilik hanya berharga RM45,000 berbanding kos sebenar RM160,000.
Artikel Berkaitan:


Katanya, ini bermakna kerajaan menanggung subsidi rumah berkenaan sebanyak hampir RM120,000.

Dalam projek PPR yang tiap satu unit berkeluasan 750 kaki persegi itu, 100 unit dikhaskan kepada veteran tentera dan polis serta 10 unit kepada pembeli Orang Kurang Upaya (OKU).

Ismail Sabri berkata, bagi memastikan rumah berkenaan benar-benar menepati sasaran golongan sepatutnya, iaitu golongan isi rumah berpendapatan RM5,000 ke bawah, beliau mahu kerajaan negeri mengguna pakai polisi PPR kerajaan pusat, iaitu rumah tidak boleh disewa atau dijual semula dalam tempoh 10 tahun.

Sementara itu Reezal Merican dalam ucapannya di majlis itu berkata, Pahang merupakan negeri yang memiliki bilangan projek PPR tertinggi di Semenanjung iaitu 31 buah projek, yang menyumbang kepada lebih 4,000 unit rumah.

Beliau berkata, ia termasuk tiga projek PPR di Pahang yang dalam pembinaan iaitu PPR Tahan, Jerantut (100 unit), Rumah Malaysia (Disewa), di Lanchang (350 unit) dan PPR Beserah Chendor sebanyak 100 unit.

"Dalam Bajet 2023 yang dibentangkan pada awal Oktober lalu, Kerajaan meneruskan agenda membela rakyat dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM367 juta untuk membina lebih banyak PPR kepada rakyat," katanya. - Bernama