PRU15: Pertembungan tiga penjuru di Parlimen Kluang

Jais menyampaikan sumbangan Deepavali kepada keluarga yang kurang berkemampuan sempena Sambutan perayaan Deepavali di Pasar Raya Songmart, Jalan Mengkibol, Kluang, pada Sabtu.
Jais menyampaikan sumbangan Deepavali kepada keluarga yang kurang berkemampuan sempena Sambutan perayaan Deepavali di Pasar Raya Songmart, Jalan Mengkibol, Kluang, pada Sabtu.
A
A
A

KLUANG - Pertembungan tiga penjuru dijangka berlaku di Parlimen Kluang melibatkan BN, Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke15 (PRU15).

Pengerusi BN Kluang, Datuk Md Jais Sarday berkata, BN dijangka sekali lagi meletak Gan Ping Siew yang mewakili MCA untuk merampas semula kerusi tersebut daripada Pakatan Harapan (PH).

"MCA cadang meletakkan Ping Siew mewakili BN pada PRU15. Di Kluang terdapat 46 peratus pengundi Cina, 42 peratus pengundi Melayu dan 11 peratus pengundi India. Parlimen Kluang adalah kawasan campuran.

"Walau apa pun terpulang kepada pucuk pimpunan untuk meletakkan calon yang difikirkan sesuai," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Mengkibol.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam majlis penyampaian sumbangan Deepavali kepada keluarga penganut agama Hindu di Pasar Raya Songmart, Jalan Mengkibol di sini pada Sabtu.

Pada PRU14, Wong Shu Qi yang bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) menewaskan Ping Siew serta Hasbullah Najib daripada Pas dengan majoriti 23,053 undi.

Bagi PRU15, pertembungan tiga penjuru dijangka berlaku antara Shu Qi yang sudah menyatakan hasrat mempertahankan kerusi Parlimen Kluang awal bulan ini dengan Ping Siew (BN) dan Mohd Haizan Jaafar yang disebut-sebut sebagai calon PN.

Mengenai sumbangan tersebut, beliau berkata, seramai 200 keluarga Hindu kurang berkemampuan menerima sumbangan wang tunai dan barang-barang dapur daripada Yayasan Perbandaran Kluang (YPK).

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga Pengerusi YPK berkata, sumbangan diberikan adalah untuk membantu keluarga terlibat menyambut perayaan Deepavali pada Isnin ini.

"Semoga sumbangan ini dapat dijadikan sebagai sebahagian sumber tambahan kepada setiap keluarga untuk menyediakan keperluan secukupnya menyambut perayaan setahun sekali ini.

"Sebagai sebuah badan yang sentiasa cakna dengan kehidupan masyarakat di Kluang ini, YPK akan tetap berusaha membantu seberapa ramai yang boleh dalam soal kebajikan mereka," ujar beliau.

Bantuan seperti ini katanya, tidak hanya diberikan pada musim-musim perayaan tetapi digerakkan mengikut keperluan semasa.

Menurutnya lagi, selain sambutan perayaan pihaknya juga mengambil maklum penduduk yang terlibat dengan musibah atau penyakit kronik sehingga hilang keupayaan untuk bekerja menyara keluarga.

"Dalam erti kata lain, apa sahaja berkaitan kebajikan penduduk dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kluang (MPK) pasti akan disantuni mengikut keperluan mereka.

"Dengan harapan setiap bantuan itu nanti membolehkan penerimanya menguruskan kehidupan lebih baik khususnya pada saat sukar," katanya.