Gara-gara tak puas hati, pelajar dipukul tiga rakan

Polis menyiasat kes pukul babit pelajar berusia 13 tahun di Banting, Selangor, Rabu lalu.
Polis menyiasat kes pukul babit pelajar berusia 13 tahun di Banting, Selangor, Rabu lalu.
A
A
A

KUALA LANGAT - Seorang pelajar dipukul dan dibuli berhampiran kawasan ladang kelapa sawit di Banting, di sini, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, satu laporan diterima pihaknya pada jam 7.10 malam, Jumaat yang dibuat oleh ibu mangsa berusia 40 tahun.

Menurutnya, ibu mangsa mendakwa anak lelakinya dibuli tiga pelajar lelaki semasa berada di sekitar kawasan Banting.

"Siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 9.50 pagi, pada Rabu lalu di mana mangsa berusia 13 tahun telah dipukul hingga mengalami kecederaan di pipi.

"Punca kejadian adalah disebabkan oleh kumpulan pelajar itu (suspek) tidak berpuas hati kepada mangsa apabila mangsa tidak hadir bertemu guru disiplin sekolah setelah mereka bersama ponteng sekolah pada 12 Oktober lalu," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, susulan itu kesemua pelajar berusia 13 tahun itu telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk direkod keterangan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

Tambahnya, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita yang tidak sahih yang boleh menggugat ketenteraman.

Artikel Berkaitan: