Mangsa banjir kilat di Padang Terap dipindahkan ke PPS

Anggota APM Padang Terap semasa membuat pemantauan banjir kilat di
Kampung Baru Padang Sanai, Kuala Nerang pada malam Jumaat.
Anggota APM Padang Terap semasa membuat pemantauan banjir kilat di Kampung Baru Padang Sanai, Kuala Nerang pada malam Jumaat.
A
A
A

PADANG TERAP - Seramai 28 mangsa di Kampung Baru Padang Sanai, Kuala Nerang, di sini dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Kampung Baru Padang Sanai selepas rumah mereka terjejas akibat banjir kilat.

Ketua Bahagian Sekretariat, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Major (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, mangsa daripada empat buah keluarga dipindahkan kerana paras air semakin naik selepas hujan pada malam Jumaat.

Menurutnya, semua mangsa terdiri daripada tujuh lelaki dewasa, 10 wanita dewasa, enam kanak-kanak lelaki serta lima kanak-kanak perempuan.

"Hasil pemantauan anggota APM Padang Terap di Sungai Sari yang berhampiran kawasan itu mendapati paras air telah melebihi tahap waspada namun masih lagi terkawal," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, APM Padang Terap akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa dan akan memaklumkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana APM Kedah untuk tindakan susulan.

Artikel Berkaitan: