'Jangan sebar kenyataan palsu, fitnah di media sosial'

Pemimpin politik diingatkan agar sentiasa bertangggungjawab dan beretika dalam menyampaikan kempen PRU15 di media sosial. Foto 123RF (Gambar kecil: Mediha)
Pemimpin politik diingatkan agar sentiasa bertangggungjawab dan beretika dalam menyampaikan kempen PRU15 di media sosial. Foto 123RF (Gambar kecil: Mediha)
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin politik diingatkan agar sentiasa bertangggungjawab dan beretika dalam menyampaikan kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di media sosial masing-masing dengan tidak memuat naik sebarang kenyataan palsu atau berbaur fitnah.

Pengarah Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), Mediha Mahmood berkata, strategi kempen dengan membuat kenyataan palsu propaganda yang berbentuk serangan bertujuan mewujudkan kebencian adalah salah dari segi undang-undang.

Jelasnya, kesalahan tersebut juga selari dengan Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia (Kod Kandungan) dan juga Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta) yang boLeh disabitkan ke atas mana-mana ahli politik yang didapati bersalah melanggar keperluan-keperluan statut tersebut.

“Sebarang tindakan yang menyebarkan maklumat yang salah atau terang-terangan menipu para pengundi atau memanipulasi fakta dan statistik untuk mengaburi situasi yang sebenar juga merupakan satu bentuk maklumat palsu dan berita yang tidak sahih.

“Ahli-ahli politik juga tertakluk kepada garis panduan komuniti media sosial yang sama seperti kita semua dan mereka juga boleh dilaporkan sekiranya mereka membuat sebarang hantaran yang tidak selari dengan garis panduan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambahnya, seiring dengan peningkatan populariti platform media sosial bagi tujuan kempen politik dan juga peranan pempengaruh dalam membantu menyebarkan propaganda, pengguna turut diingatkan agar lebih celik untuk mengelakkan mereka daripada terjerumus ke dalam kancah maklumat salah.

“Orang ramai seharusnya tampil berani untuk memberikan teguran kepada sesiapa sahaja yang melanggar garis panduan komuniti platform media sosial, misalnya mereka yang menggunakan tuturan kebencian dalam platform mereka,” katanya.

Ujarnya, sistem demokrasi boleh berkembang dengan lebih sihat sekiranya ahli politik sehinggalah kepada para pengundi bertindak secara beretika bertanggungjawab dan berhemah.

Artikel Berkaitan:

“Ia mungkin kelihatan mustahil tapi sekurang-kurangnya kita boleh cuba,” katanya.