Lelaki kudung tangan didakwa bunuh gelandangan

Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Jumaat atas tuduhan membunuh seorang warga emas, Ahad lalu.
Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Jumaat atas tuduhan membunuh seorang warga emas, Ahad lalu.
A
A
A

IPOH - Seorang lelaki yang mengalami kudung tangan kanan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Jumaat atas tuduhan membunuh seorang warga emas gelandangan, Ahad lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Chin Ling Sin, 51, yang mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Kantonis di hadapan Majistret Jesseca Daimis.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu yang juga seorang gelandangan didakwa membunuh Leong Chow Wah, 67, di lorong tepi sebuah restoran di Jalan Leng Sin Nam, Ipoh dalam daerah Kinta antara jam 4.50 pagi hingga 5.50 pagi pada 16 Oktober 2022.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fatimah Hannah Abd Wahab manakala tertuduh belum diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 16 Disember depan untuk sebutan semula bagi laporan kimia dan laporan bedah siasat.

Media pada Ahad lalu melaporkan, mayat lelaki warga emas dipercayai gelandangan ditemukan dengan kesan luka di dagu di tepi tangga dekat kaki lima kedai di Jalan Leong Sim Nam.

Lelaki terbabit ditemukan orang awam sekitar jam 5.22 pagi dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh pakar klinikal Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh di lokasi kejadian.

Artikel Berkaitan:

Pemeriksaan awal ke atas tubuh lelaki itu mendapati terdapat kesan luka pada dagu disebabkan senjata tajam dan calar pada kedua-dua tangan.