Jabatan Penjara benar lawatan keluarga sempena Deepavali

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Penjara Malaysia membenarkan sesi lawatan khas sempena sambutan perayaan Deepavali kepada semua keluarga penghuni penjara.

Jabatan Penjara Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, sesi lawatan khas itu diadakan secara bersemuka dan dalam talian termasuk bagi penghuni pusat pemulihan akhlak, pusat pemulihan khas, tempat tahanan khas dan Sekolah Henry Gurney.

"Lawatan menerusi kaedah bersemuka ditetapkan pada hari ketiga (26 Oktober) dan keempat (27 Oktober) perayaan, keutamaan lawatan diberi kepada penghuni beragama Hindu sahaja.

"Kaedah secara dalam talian pula bermula 29 hingga 31 Oktober," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kenyataan itu memaklumkan, sesi lawatan bermula pada jam 8.15 pagi hingga 4.15 petang dan hanya dibenarkan bagi mereka yang telah membuat janji temu.

"Terdapat tiga kaedah tempahan iaitu menerusi sistem i-Visit www.prison.gov.my, panggilan telefon di institusi berkenaan, e-mel atau melalui surat ke institusi berkenaan.

"Pihak institusi akan menetapkan tarikh dan sesi perjumpaan selepas tempahan dibuat," kata kenyataan tersebut pada Jumaat.

Kenyataan itu turut memaklumkan, setiap pelawat adalah tertakluk kepada akta dan peraturan yang membolehkan pihak penjara membuat pemeriksaan fizikal ketika mereka masuk dan keluar dari penjara terbabit.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, pelawat juga dikehendaki melakukan ujian pengesanan Covid-19 RT-PCR atau ARTK-Ag dan tidak bergejala sebelum hadir ke institusi berkenaan.

"Pelawat diminta membawa kad lawatan dan kad pengenalan bagi memudahkan urusan serta tidak dibenarkan membawa makanan atau minuman kepada penghuni.

"Makanan dan minuman boleh dibeli di kantin penjara," menurut kenyataan itu.