Kastam Pulau Pinang rampas rokok seludup RM10.4 juta

Hamisan (tiga dari kanan) bersama rokok, minuman keras dan mercun yang dirampas di sebuah gudang di Seberang Perai Tengah.
Hamisan (tiga dari kanan) bersama rokok, minuman keras dan mercun yang dirampas di sebuah gudang di Seberang Perai Tengah.
A
A
A

PERAI - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang menahan lima lelaki warga tempatan bersama 13.58 juta batang rokok seludup bernilai RM10.4 juta termasuk cukai pada 4 Oktober lalu.

Pengarahnya, Hamisan Kalip berkata, rampasan terbabit dibuat selepas penguat kuasa JKDM mendapati suspek telah memalsukan dokumen dengan mengisytiharkan barang seludup sebagai kertas tisu.

Menurutnya, pasukan daripada Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan dan Cawangan Siasatan Khas Zon Utara Pulau Pinang telah membuat serbuan dan melakukan pemeriksaan ke atas sebuah gudang di Seberang Perai Tengah (SPT).

"Hasil pemeriksaan, kita menemui dua buah lori 'bonded' yang membawa muatan rokok dipercayai dari Vietnam. Sementara itu, di dalam gudang pula, kita turut menjumpai rokok, minuman keras dan mercun.

"Rampasan melibatkan 1,358 kotak (mastercase) yang mengandungi 13.58 juta batang rokok bernilai RM1.1 juta dengan cukai RM9.1 juta. Selain itu, kita merampas 21,000 tin minuman keras sebanyak 8,361.6 liter bernilai RM41,808 dan cukai RM195,466.

Hamisan (duduk, dua dari kanan) menunjukkan barangan seludup yang dirampas pada 4 Oktober lalu.
Hamisan (duduk, dua dari kanan) menunjukkan barangan seludup yang dirampas pada 4 Oktober lalu.

"Bagi rampasan mercun pula, kita merampas tujuh karton yang mengandungi 280 peket mercun bernilai RM1,120 dan cukai RM728," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Pencegahan JKDM Pulau Pinang di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, lima suspek tersebut yang berusia lingkungan 35 hingga 46 tahun itu sudah dituduh di Mahkamah Bukit Mertajam baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

"Mereka ini adalah buruh dan ketika serbuan dibuat, mereka sedang memunggah dagangan daripada kontena.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1966 dan Akta Eksais 1976. Kes turut disiasat mengikut Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976," katanya.