Warga KPT tak boleh leka kejayaan lalu

Ketua Setiausaha kementerian mahu semua pihak sentiasa pertingkatkan prestasi perkhidmatan

A
A
A

Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar mengutarakan pandangan semasa Seminar Perancangan Strategik Kajian Separuh Penggal KPT (SPS KPS KPT) 2022, di sini, semalam.
Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar mengutarakan pandangan semasa Seminar Perancangan Strategik Kajian Separuh Penggal KPT (SPS KPS KPT) 2022, di sini, semalam.

KUALA LUMPUR - Warga kerja Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) perlu terus mempertingkatkan prestasi kerja, menempa kejayaan baharu dan tidak hanya selesa dibuai rekod kejayaan cemerlang yang lepas.

Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar berkata, kejayaan silam tidak menjanjikan kelangsungan andai warga KPT secara retrospektif sekadar menoleh ke belakang tanpa usaha mempertingkatkan prestasi semasa.

Katanya, warga kementerian tidak boleh sekadar berpuas hati dengan menjalankan tugas seperti biasa secara ala kadar dan malah perlu sentiasa mencabar status-quo bagi mendapatkan strategi dan kaedah terbaik dalam pelaksanaan sesuatu perkara, supaya sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa.

“Sekiranya sama saja apa yang kita laksanakan tahun demi tahun, jadi tidak perlulah kita berkumpul mendengar pembentangan demi pembentangan pada hari ini.

“Kita tidak mahu seperti peribahasa “mencencang lading patah” yang bermaksud membanggakan kehebatan atau kejayaan lalu sahaja.

“Saya mengharapkan supaya Seminar Perancangan Strategik Kajian Separuh Penggal KPT 2022 ini ada kelainan yang ditampilkan sama ada dari segi pengisian program mahupun penyertaan para peserta yang lebih aktif,” katanya dalam ucapan perasmiannya sempena Seminar Perancangan Strategik Kajian Separuh Penggal KPT (SPS KPS KPT) 2022, di sini, semalam.

Artikel Berkaitan:

SPS KPT merupakan saluran untuk warga kementerian menganalisis pencapaian KPT pada tahun lalu berbanding sasaran yang ditetapkan, mengkaji di mana kelemahan pelaksanaan dan merangka strategi yang boleh diambil bagi mengatasi kelemahan sebelumnya.

Sebahagian daripada warga kerja KPT yang menyertai Seminar Perancangan Strategik Kajian Separuh Penggal KPT (SPS KPS KPT) 2022, di sini, semalam.
Sebahagian daripada warga kerja KPT yang menyertai Seminar Perancangan Strategik Kajian Separuh Penggal KPT (SPS KPS KPT) 2022, di sini, semalam.

Ujar Abdul Razak lagi, setelah lebih 10 bulan berada di KPT, beliau dapati ada beberapa perkara yang harus diberikan perhatian dan boleh ditambah baik.

Katanya, antara penambahbaikkan itu ialah dari segi dasar di peringkat nasional, perancangan kementerian adalah sepatutnya berpandukan kepada perancangan yang terkandung dalam dokumen rujukan utama di peringkat nasional iaitu Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12).

“Dalam RMKe-12 ini, kita ada Pelan Pelaksanaan Dasar (PPD) yang mempunyai perincian program dan inisiatif serta Petunjuk Prestasi Utama atau KPI yang perlu dicapai.

“Selain itu, ada dasar-dasar utama di peringkat nasional yang perlu kita laksanakan dan jajarkan dengan program atau inisiatif di peringkat KPT.

“Manakala dasar utama di peringkat kementerian pula adalah berpandukan kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) atau PPPM(PT) 2015-2025 dan yang terkini Pelan Tindakan Pendidikan Tinggi Malaysia 2021-2025 yang bakal kita lancarkan tidak lama lagi,” katanya.

Abdul Razak berharap semua peserta seminar dapat menggunakan sepenuhnya masa yang diperuntukkan sepanjang tempoh seminar ini untuk memberikan pandangan dan idea bagi membantu kementerian menyusun strategi terbaik terutamanya dalam mendepani cabaran mendatang.

“Tidak dinafikan dalam keadaan sekarang, kita banyak berhadapan dengan ketidaktentuan yang kadang-kala menyukarkan kita untuk menyusun langkah ke hadapan.

“Namun saya percaya dengan gabungan kebijaksanaan sarjana-sarjana yang kita ada di KPT ini, kita akan dapat mencari peluang dalam isu yang kita hadapi seterusnya mencari penyelesaian terbaik berdasarkan pilihan yang ada,” katanya.