TNB siap siaga hadapi banjir

Pasukan TNB sedia untuk digerakkan bagi membendung impak banjir kepada orang ramai di kawasan terjejas banjir.
Pasukan TNB sedia untuk digerakkan bagi membendung impak banjir kepada orang ramai di kawasan terjejas banjir.
A
A
A

SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah membuat persiapan rapi bagi menghadapi kemungkinan bencana banjir pada musim tengkujuh kali ini.

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood berkata, tindakan tersebut sebagai usaha memastikan pengurusan bekalan tenaga elektrik teratur dan berkesan sekali gus meminimumkan kerosakan pepasangan demi keselamatan orang awam.

"Seperti biasa setiap kali menjelang musim tengkujuh, TNB membuat latihan demi latihan supaya anggota kerja sentiasa berada dalam keadaan siap siaga serta memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing apabila berlaku banjir.

“Lebih 2,500 petugas daripada Bahagian Rangkaian Pembahagian telah disenaraikan untuk menganggotai Pasukan Kecemasan Keselamatan yang akan bertugas 24 jam bagi melakukan kerja-kerja segera di kawasan terjejas akibat bencana berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu Wan Nazmy turut memaklumkan, TNB bekerjasama dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah bagi membuka bilik-bilik gerakan di negeri terlibat bagi memantau keadaan serta menyalurkan maklumat terkini bekalan elektrik.

Jelasnya, Pusat Penempatan Sementara (PPS) yang dikenal pasti turut diperiksa bagi memastikan bekalan elektrik berada dalam keadaan baik.

Oleh itu katanya, set-set jana kuasa bergerak dan mudah alih, lampu nipah serta kenderaan seperti pacuan empat roda, bot dan lori juga telah ditempatkan di beberapa lokasi strategik untuk digunakan ketika musim tengkujuh.

"Pengguna yang terputus bekalan elektrik ketika musim banjir dinasihatkan segera menghubungi TNB di talian 15454 atau Facebook TNB Careline untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai perlu berhati-hati menggunakan peralatan elektrik dan suis. Jangan menyentuhnya dengan tangan basah dan lembap kerana boleh menyebabkan renjatan elektrik.

“Selepas banjir surut pula, pemeriksaan menyeluruh pendawaian premis perlu dilakukan oleh kontraktor pendawaian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga bagi memastikan ia selamat digunakan," ujarnya.