Nazri kekal pendirian tidak bertanding PRU15

Mohamed Nazri
Mohamed Nazri
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz kekal dengan pendirian untuk memberi laluan kepada calon lain di kerusi yang dimenanginya sejak enam penggal yang lalu.

Memetik laporan portal berita Astro Awani, Mohamed Nazri berkata, sudah tiba masanya beliau memberi ruang dan peluang kepada golongan muda untuk bertanding di Padang Rengas.

"Ramai bertanya adakah saya masih berpegang kepada keputusan yang dibuat setahun yang lalu, jadi hari ini saya nak beritahu, ya, saya masih dengan pendirian yang sama.

"Saya tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan akan memberi laluan kepada muka baharu di kerusi tersebut. Setiap yang bermula pasti akan berakhir.

"Insya-ALLAH Padang Rengas akan kekal di bawah UMNO dan BN pada PRU15 ini biarpun bukan saya lagi yang bertanding," katanya.

Jelas beliau, muka baharu perlu diberi peluang dan sememangnya tidak akan ada seorang lagi Nazri Aziz tetapi setiap orang akan ada kelebihan sendiri.

Sebelum ini media melaporkan setahun yang lalu, Mohamed Nazri mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Padang Rengas pada PRU15 untuk memberi laluan kepada muka baharu.

Pada Khamis, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan penamaan calon akan diadakan pada 5 November dan tempoh berkempen adalah selama 14 hari.

Artikel Berkaitan: