1.9 juta kenderaan dijangka guna PLUS semasa Deepavali

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan 1.9 juta kenderaan akan menggunakan semua rangkaian lebuh rayanya setiap hari semasa cuti perayaan Deepavali bermula 21 hingga 26 Oktober ini, berbanding 1.7 juta pada hari biasa.

Justeru, syarikat itu menasihatkan pelanggan lebuh raya dari Lembah Klang yang menuju ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak dan Johor supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 10 pagi.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, pelanggan lebuh raya dari negeri-negeri tersebut yang bergerak pulang ke Lembah Klang bermula 24 Oktober hingga 26 Oktober pula disarankan supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 10 pagi.

“Untuk perjalanan yang lebih selesa, PLUS dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan turut mengaktifkan Ujian Awam SmartLane.

“Ia akan dilakukan di laluan Bukit Tambun-Plaza Tol Juru dan Sungai Petani Selatan-Hentian Sebelah Tikam Batu untuk mengurangkan kesesakan selain mengeluarkan arahan supaya tiada penutupan lorong untuk kerja-kerja penyelenggaraan dilaksanakan bagi memastikan kelancaran trafik,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Selain daripada itu, PLUS juga akan memastikan tiada penutupan lorong atau kerja-kerja penyelenggaraan serta naik taraf atau pembinaan dilaksanakan di lebuh raya kendaliannya di antara 21 hingga 25 Oktober ini bagi memastikan tiada gangguan terhadap perjalanan orang ramai.

Bagaimanapun, Zakaria menjelaskan, lorong mungkin terpaksa ditutup sementara bagi membolehkan kerja-kerja kecemasan seperti pengalihan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan, pembersihan lokasi kemalangan dan kerja-kerja pembaikan yang kritikal dilaksanakan secepat mungkin.

“Pada musim cuti perayaan ini juga, seramai 512 anggota PLUSRonda akan berada di lebuh raya untuk membuat rondaan dan membantu orang ramai. Jumlah ini merupakan peningkatan sebanyak 8 peratus berbanding hari-hari biasa,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Tambah Zakaria, PLUS juga sedar keperluan untuk memastikan semua lorong dapat digunakan untuk melancarkan pergerakan trafik terutamanya di laluan-laluan yang kritikal.

“Justeru, kita sekali lagi akan mengaktifkan Ujian Awam SmartLane (melibatkan pembukaan dan penggunaan lorong kecemasan kepada kenderaan) di laluan di antara Bukit Tambun (KM150.6) menghala ke Plaza Tol Juru (KM146.2) bermula jam 3 petang hingga 6 petang pada 21 Oktober untuk melancarkan pergerakan trafik ke Utara.

“Bagi perjalanan ke Selatan pada 26 Oktober, Ujian Awam SmartLane akan diaktifkan di antara Persimpangan Sungai Petani Selatan (KM107.6) hingga Hentian Sebelah Tikam Batu (KM113) bermula jam 2 petang hingga 6 petang.

“Hasil daripada Ujian Awam SmartLane ini akan dibentangkan kepada pihak berkuasa untuk diadaptasikan di lokasi lain pada masa yang akan datang,” jelasnya.