Kerajaan baharu selepas PRU15 diharap tingkat peruntukan Mara

Md Alwi (kanan) melihat ikan produk ikan talapia di gerai pameran di SMK Kok Lanas, Kota Bharu pada Khamis.
Md Alwi (kanan) melihat ikan produk ikan talapia di gerai pameran di SMK Kok Lanas, Kota Bharu pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Majlis Amanah Rakyat (Mara) mahu kerajaan yang bakal dipilih pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti dapat menambah peruntukan sekali ganda kepada RM4 bilion.

Ahli Majlis Mara, Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad berkata, langkah itu penting supaya Mara dapat meneruskan lagi agenda memperkasakan ekonomi Bumiputera secara lebih luas.

“Ramai sangat memerlukan duit Mara tetapi Mara tak cukup peruntukan. Sebab tu, kerajaan baru terpilih nanti, minta supaya duit untuk Mara ditambah sekali ganda.

“Sekarang kami dapat kira-kira RM2 bilion, kami nak RM4 bilion untuk memastikan bahawa agenda memperkasakan bumiputera dapat diteruskan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Jelajah Pendidikan Luar Bandar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kok Lanas di sini pada Khamis.

Md Alwi (depan, tiga dari kiri) bersama penerima komputer pada Jelajah Pendidikan Luar Bandar di SMK Kok Lanas, Kota Bharu pada Khamis.
Md Alwi (depan, tiga dari kiri) bersama penerima komputer pada Jelajah Pendidikan Luar Bandar di SMK Kok Lanas, Kota Bharu pada Khamis.

Mengulas mengenai siri jelajah tersebut, beliau memberitahu ia bertujuan menunjukkan kepada pelajar mengenai hala tuju selepas tamat pengajian peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan ia sudah dimanfaatkan lebih 63,000 pelajar di seluruh negara.

“Kita tidak mahu pelajar hilang haluan selepas tamat SPM kerana Mara tawarkan pelbagai kursus pilihan yang lengkap selain pilihan pengajian di institusi-institusi pendidikan awam.

“Mereka yang kurang berminat dalam bidang akademik juga boleh memanfaatkan peluang mengikuti Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di Mara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kata beliau, TVET di GiatMara, Kolej Profesional Mara, Institut Kemahiran Mara (IKM) dan Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) adalah memenuhi kehendak industri serta memberi jaminan masa depan dengan kebolehpasaran kerja sehingga 97 peratus.

“Mara juga menyediakan 200 kaunselor untuk bimbingan dan kaunseling kepada pelajar yang mengalami masalah kurang berminat untuk menyambung pengajian,” katanya.