PKPIM sokong kempen #SatuJari

Muhammad Dzul
Muhammad Dzul
A
A
A

SHAH ALAM – Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) pada Khamis menyokong kempen #SatuJari Tolak Rasuah yang dilancarkan oleh Rasuah Busters sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung PKPIM, Muhammad Dzul Aiman Zulkefly berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga digesa agar melakukan proses tapisan yang adil dan saksama bagi memastikan calon-calon dikemukakan pada PRU15 bebas daripada sebarang perilaku rasuah serta salah guna kuasa.

“PKPIM menggesa rakyat Malaysia khususnya pengundi muda menolak dan tidak mengundi calon yang dikaitkan dengan skandal rasuah dan politik wang sebagai wakil rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub sebelum ini berkata, inisiatif kempen #SatuJari itu diambil bagi menyampaikan mesej mengenai pentingnya nilai satu jari setiap pengundi dalam pilihan raya yang disifatkan paling mencabar ini untuk membawa perubahan pada 32.7 juta rakyat Malaysia.

#SatuJari merupakan simbolik jari jutaan rakyat yang mengharapkan perubahan negara daripada segenap aspek, yang mana nilai seseorang keluar mengundi akan menentukan sistem, infrastruktur, pendidikan, kesihatan, kerjaya dan lain-lain kemudahan lebih baik untuk rakyat.

Selain itu, #SatuJari juga akan memastikan ekonomi negara berada di kedudukan yang stabil, di samping turut membentuk pemerkasaan demokratik belia melalui Undi18 agar prihatin tentang tanggungjawab dan hak kewarganegaraan yang perlu dipraktikkan dalam PRU15 nanti.

Muhammad Dzul dalam masa sama turut menggesa agar pengundi pada PRU15 memilih calon yang mempunyai integriti, bebas rasuah dan antirasuah bagi memastikan urus tadbir negara untuk lima tahun diserahkan kepada pemimpin yang tepat serta berintegriti tinggi.

Artikel Berkaitan: