Letak calon tempatan di Parlimen Temerloh

Kain rentang yang dipasang yang mahukan anak tempatan diletakkan bagi kerusi Parlimen Temerloh pada PRU15.
Kain rentang yang dipasang yang mahukan anak tempatan diletakkan bagi kerusi Parlimen Temerloh pada PRU15.
A
A
A

TEMERLOH - Pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) wajar mendengar suara akar umbi dalam isu meletakkan calon anak tempatan di kerusi di Parlimen Temerloh untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Temerloh, Syahril Rizal Tajudin berkata, tindakan meletakkan calon tempatan agar peluang lebih cerah dan meyakinkan untuk memperoleh kemenangan sekali gus dapat mempertahankan kerusi Parlimen Temerloh.

Menurutnya, pengundi di kawasan tersebut sememangnya mahukan calon yang bukan sahaja bersih daripada rasuah dan kuat kerja, malah lebih cenderung untuk memilih calon anak tempatan berbanding calon dari luar yang kurang sensitif dengan isu-isu tempatan yang berlaku di kawasan Parlimen tersebut.

"Ini dapat dilihat sendiri apabila beberapa ahli Parlimen yang bukan anak tempatan Temerloh telah memenangi PRU sebelum ini dan mereka jarang kelihatan di kawasan mereka.

"Sebelum ini Nasruddin Tantawi yang menang pada PRU13 atas tiket Pas dan terkini Datuk Wira Mohd Anuar Mohd Tahir yang memenangi kerusi Parlimen ini pada PRU14 mewakili parti Amanah," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ujar Syahril, hasil maklum balas terkini, rata-rata masyarakat di sini akan menolak sesiapa sahaja yang bukan anak tempatan untuk menyandang kerusi Parlimen Temerloh tidak kira parti apa yang mereka wakili.

"Masyarakat di sini memilih calon tempatan daripada calon luar kerana calon tempatan lebih faham dengan isu-isu tempatan dan lebih dekat dengan masyarakat di sini.

"Inilah kerisauan kami di peringkat jentera kerana pengundi atas pagar dan pengundi pertama kali adalah penentu sama ada kemenangan atau kekalahan yang akan PH peroleh di kerusi marginal seperti P.088 Temerloh," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Tegas Syahril lagi, faktor calon perlu dipandang serius kerana hanya calon yang buat kerja secara serius dan memahami isu-isu tempatan akan menawan hati serta mendapat kepercayaan pengundi di Parlimen tersebut.

"Harapan kami adalah pimpinan di atas membuat keputusan terbaik kerana masyarakat Temerloh layak mendapat wakil rakyat yang komited, jujur dan bertanggungjawab serta sering turun padang bersama masyarakat setempat.

"Janganlah mengulangi kesilapan dalam PRU yang sebelumnya dan menghampakan penyokong dengan meletakkan calon luar.

"Kami yakin calon-calon tempatan daripada parti-parti komponen PH mempunyai peluang lebih cerah untuk memenangkan PH di kerusi P.088 Temerloh," tambah beliau.