Bekas bendahari koperasi didenda RM8,000

M. Santhi ketika hadir di mahkamah
M. Santhi ketika hadir di mahkamah
A
A
A

SEREMBAN - Bekas bendahari sebuah koperasi didenda RM8,000 di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu untuk pelaporan akhir program Unit Pembangunan Sosio Ekonomi Masyarakat India (SEDIC), tujuh tahun lalu.

Hakim Rushan Lutfi Mohamed menjatuhkan hukuman itu terhadap, M Santhi, 57, selepas dia membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Mahkamah turut menetapkan tertuduh dihukum penjara empat bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai Bendahari Koperasi Global and National Skill Development Seremban Berhad (GNSDC) didakwa dengan niat curangnya telah menggunakan dokumen palsu untuk pelaporan akhir program SEDIC.

Kesalahan itu dilakukan di pejabat koperasi GNSDS di Jalan Rasah, Seremban pada Oktober tahun 2015 dan Oktober tahun 2016.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya.

Terdahulu, peguam M. Dinesh memohon hukuman ringan terhadap anak guamnya yang kini tidak lagi bekerja dan kini menjaga cucu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, tertuduh juga telah insaf dan pengakuan bersalahnya telah menjimatkan masa dan kos mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali.