Rumah, sekolah rosak dilanda ribut di Besut

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A
JERTIH - Penghuni lebih 60 rumah di tujuh kampung di sini, berhadapan detik cemas apabila kawasan mereka dilanda ribut sehingga merosakkan kediaman mereka pada petang Rabu.

Kampung terlibat dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu ialah Kampung Pusu Tinggi, Bukit Puteri, Dengir, Tok Has, Lay Out Tok Has, Gong Penaga dan Air Terjun manakala Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Puteri yang terletak di Kampung Tok Has turut mengalami kerosakan dalam insiden itu.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Azbi Salleh berkata, kebanyakan rumah mengalami kerosakan di bahagian bumbung dalam kejadian hujan lebat yang berlarutan selama hampir satu jam.

"Pihak kami dalam tindakan mendapatkan maklumat jumlah sebenar keluarga yang terjejas kerana kemungkinan ada lagi mangsa yang belum melaporkan kejadian kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) masing-masing,” katanya ketika dihubungi.



Sementara itu, menurut Timbalan Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Besut, Hamdhan Abd Ghafar, hanya SK Bukit Puteri yang mengalami kerosakan teruk di daerah ini dalam kejadian itu.

Hamdhan berkata, bumbung garaj yang menempatkan kenderaan guru antara yang diterbangkan ribut sehingga tersangkut pada bumbung bangunan kelas berdekatan.
Artikel Berkaitan:


"Empat kelas mengalami kerosakan di bahagian bumbung apabila atap diterbangkan angin namun tidak ada sebarang kecederaan. Kejadian berlaku selepas waktu persekolahan, pelajar serta guru telah pulang ke rumah masing-masing.

"Persekolahan beroperasi seperti biasa hari ini tetapi murid yang kelas mereka terjejas ditempatkan sementara di dewan sekolah dan tindakan segera akan diambil untuk membaiki kerosakan supaya murid-murid dapat mengikuti pembelajaran seperti biasa apabila sekolah dibuka Rabu depan,” katanya. - Bernama