Agong kurnia 257 pingat kepada anggota tentera

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) berkenan berangkat ke Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera Malaysia (DKAT) 2022 di Istana Negara pada Khamis. - Foto: Bernama
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) berkenan berangkat ke Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera Malaysia (DKAT) 2022 di Istana Negara pada Khamis. - Foto: Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan pingat kepada 257 pegawai dan anggota tentera pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera Malaysia (DKAT) 2022 sesi kedua, di Istana Negara pada Khamis.

Pada istiadat berlangsung di Balairung Seri Istana Negara itu, Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan Darjah Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT) kepada 11 penerima; Pahlawan Angkatan Tentera (PAT) melibatkan 33 penerima; Kesatria Angkatan Tentera (KAT) kepada 104 penerima dan Bentara Angkatan Tentera (BAT) membabitkan 109 penerima.

Penganugerahan pingat DKAT diberikan kepada pegawai dan anggota lain-lain pangkat yang berkelayakan atas jasa dan pengorbanan dicurahkan dalam perkhidmatan ATM.

Turut hadir ke istiadat itu ialah Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Affendi Buang, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Pada sesi pertama istiadat itu Selasa lepas, seramai 284 pegawai dan anggota dikurniakan pingat dengan Mohd Asghar Khan mendahului senarai sebagai penerima darjah Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT). - Bernama
Artikel Berkaitan: