Izzat Hilmi, Zhe Yie permata baharu skuad berbasikal negara

Zhe Yie antara permata baharu skuad berbasikal negara yang cemerlang pada Petronas LTdL 2022.
Zhe Yie antara permata baharu skuad berbasikal negara yang cemerlang pada Petronas LTdL 2022.
A
A
A

DUA pelumba, Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil dan Kee Zhe Yie kini dilabel permata baharu skuad berbasikal negara atas prestasi cemerlang dalam perlumbaan Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 yang melabuhkan tirainya pada Selasa.

Dalam lapan peringkat perlumbaan pada edisi kali ini, Izzat Hilmi dan Zhe Yie yang membuat penampilan sulung di LTdL mempamerkan kayuhan bertenaga apabila saling bertukar status selaku pelumba terbaik Malaysia bagi setiap peringkat.

Situasi itu nyata memberikan khabar gembira buat kem Malaysia yang turut menyandarkan harapan kepada dua tonggak senior - Nik Mohd Azwan Zulkiflie dan Sofian Nabil Omar Bakri, selain pasangan kembar, Muhammad Ameer serta Muhammad Ameen Ahmad Kamal.

Menyedari impak positif yang dijelmakan Izzat Hilmi dan Zhe Yie, ketua jurulatih skuad berbasikal negara, Mohd Yusof Nasir berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) bagi memberi pendedahan terbaik kepada kedua-dua pelumba itu.

Izzat Hilmi
Izzat Hilmi

Malah, Mohd Yusof memberitahu, PKBM perlu merancang program sewajarnya buat Izzat Hilmi dan Zhe Yie agar skuad berbasikal lebuh raya negara tidak ketandusan pelumba untuk diketengahkan dalam kejohanan kompetitif.

“Sebaik sahaja perlumbaan (LTdL 2022) ini, saya akan berjumpa dengan pihak PKBM untuk membincangkan hala tuju Izzat dan Zhe Yie kerana seperti yang kita dapat lihat dalam lapan peringkat ini, mereka tidak gentar untuk bersaing dengan pelumba terbaik dunia.

“LTdL kali ini jauh berbeza dengan penganjuran edisi-edisi sebelum ini. Kali ini ada enam pasukan Jelajah Dunia tetapi saya harus memberikan pujian kepada Zhe Yie dan Izzat kerana mereka berani untuk ke depan,” jelasnya selepas tamat Peringkat 8 di Kuah, Langkawi pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, Zhe Yie, 19, memegang status pelumba terbaik Malaysia pada perlumbaan Peringkat 1 (Kuala Pilah-Kuala Lumpur), Peringkat 3 (Putrajaya-Genting Highlands), Peringkat 4 (Sabak Bernam-Meru Raya) dan Peringkat 5 (Kuala Kangsar-Kulim).

Izzat Hilmi, 27, pula yang membuat penampilan kelima dan kali keempat bersama pasukan kebangsaan dalam sejarah penganjuran LTdL muncul pelumba terbaik Malaysia dan Asia pada perlumbaan Peringkat 2 (Kuala Klawang-Raub) serta Peringkat 6 (Georgetown-Alor Setar).

Dalam pada itu, Mohd Yusof mengakui berpuas hati dengan prestasi kesemua barisan pelumbanya yang berjaya memastikan pasukan kebangsaan Malaysia mengakhiri LTdL kali ini di tangga ke-20 keseluruhan, selain menghuni tangga ketujuh dalam kalangan pasukan Asia.

“Kami membuat persiapan kira-kira dua bulan bagi menghadapi LTdL. Saya anggap ia keputusan yang baik buat pasukan kebangsaan memandangkan kali ini saingan lebih hebat kerana ada enam pasukan Jelajah Dunia.

“Saya tak pasti tahun depan adakah saya akan dikekalkan tetapi saya berharap sesiapa pun yang akan menguruskan pasukan kebangsaan, kalau boleh kekalkan sebahagian besar pelumba yang ada dalam pasukan ini kerana mereka ada potensi boleh digilap,” ujarnya yang mula membimbing pasukan kebangsaan pada 2019.