Dah dapat tarikh pilihan raya, sekarang nak pilih siapa?

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MERAK Jalanan pasti hari ini detik yang ditunggu-tunggu rakyat selepas Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober lalu.

Selepas mengadakan mesyuarat khas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan tarikh penting seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian dan daftar pemilih yang akan digunakan.

Tak sabar rasanya Merak Jalanan nak celup jari dan pilih calon yang layak. Tapi siapa agaknya yang hendak dipilih?

Sedikit imbasan, selepas Pakatan Harapan (PH) diberi mandat selama 22 bulan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kita diuji pula dengan peletakan jawatan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Februari 2020.

Waktu itu Covid-19 sedang perlahan-lahan memasuki negara. Ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac 2020, rakyat makin resah kerana mangsa dijangkiti Covid-19 meningkat.

Disebabkan itu, genap 18 hari selepas pelantikan, Muhyiddin terpaksa mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 31 Mac 2020.

Terus bergolak, Malaysia bertukar pemimpin nombor satu sekali lagi 17 bulan kemudian apabila Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diangkat sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Sejak Mei 2018, boleh Merak Jalanan simpulkan rakyat Malaysia rata-rata sangat ‘penat’ dan ‘sesak nafas’ dengan gelombang politik negara. Ketidakstabilan itu menjadikan kita lebih berhati-hati dan mahu memilih pemimpin terbaik dalam semua segi agar tidak dilanda ‘tsunami’ politik sekali lagi.

Artikel Berkaitan:

Seperti dicanangkan Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub dalam pelancaran kempen #SatuJari Sempena PRU15 pada Selasa, rakyat seharusnya memilih pemimpin yang ada enam kriteria - bersih daripada rasuah, bertanggungjawab, sedia membela nasib rakyat, berintegriti, jujur dan bijak.

Dah nampak siapa ada ciri-ciri itu? Ayuh, celup satu jari dan pilih!