Tanda aras baharu LTdL

Pelumba Movistar Team Ivan Ramiro Sosa Cuervo (tiga, kiri) mengekalkan Jersi Kuning manakala Jersi Hijau dimenangi pelumba Uno-X Pro Cycling Team, Erlend Blikra (tiga, kanan). Gambar kecil: Abdul Malik
Pelumba Movistar Team Ivan Ramiro Sosa Cuervo (tiga, kiri) mengekalkan Jersi Kuning manakala Jersi Hijau dimenangi pelumba Uno-X Pro Cycling Team, Erlend Blikra (tiga, kanan). Gambar kecil: Abdul Malik
A
A
A

KEHADIRAN enam pasukan World Tour (Jelajah Dunia) ternyata ‘menggegar’ penganjuran perlumbaan Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 yang berlangsung selama lapan hari sebelum kejohanan jelajah berbasikal terulung di rantau Asia itu berakhir di Langkawi, Kedah pada Selasa.

Malah, Penaung Human Voyage Sdn Bhd, Datuk Abdul Malik Mydin berkata, kehadiran kesemua pasukan elit dunia itu yang mempertaruhkan barisan pelumba terbaik masing-masing telah memberi ‘nilai tambah’ kepada penganjuran bagi edisi ke-26 tahun ini.

“Untuk membawa enam pasukan World Tour bukan satu perkara mudah tetapi kita berjaya melakukannya. Tarikh sekitar September atau Oktober mampu menarik lebih banyak penyertaan pasukan World Team (Jelajah Dunia) menyertai perlumbaan.

“Tahun ini juga kita buat perubahan tarikh penganjuran berbanding sebelum ini pada awal tahun. Kenapa kita mohon pada September atau Oktober? Walaupun kita tahu musim hujan tetapi kita tak mampu bersaing dengan negara Timur Tengah.

“Dulu tidak ada Tour of Oman ataupun Qatar. Mereka mempunyai dana yang banyak dan oleh itu, mereka berupaya untuk membida tarikh itu (Januari hingga Julai). Jadi, untuk mengelakkan perkara tersebut, kita buat pada hujung tahun.

“Kalau dilihat pada sejarah (penganjuran LTdL), tak banyak kejohanan yang ada, antaranya Tour de France, Giro d'Italia, Vuelta a Espana, itu semua adalah Grand Tour. Pada 1996, kita bawa dengan standard 2.2 dan ia naik sehingga sekarang menjadi Pro Series.

“Jadi, kita mengambil Pro Series pun sudah memadai berbanding World Tour. Pro Series pun sudah cukup baik sekiranya mereka datang untuk mengumpul mata,” katanya kepada pemberita sejurus tamat Peringkat 8 LTdL 2022 di Pekan Kuah, Langkawi pada Selasa.

Enam pasukan Jelajah Dunia yang menghangatkan LTdL 2022 ialah UAE Team Emirates dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Team Cofidis (Perancis), Lotto–Soudal (Belgium), EF Education–EasyPost (Amerika Syarikat), Movistar Team (Sepanyol) dan Astana Qazaqstan Team (Kazakhstan).

Artikel Berkaitan:

Selain enam pasukan elit dunia itu, empat pasukan berstatus Pro Benua (pro continental) yang terdiri daripada Drone Harper-Androni Giocattoli (Itali), Uno X-Pro Cycling (Norway), Alpecin-Deceuninck (Belgium) dan Burgos-BH (Sepanyol) turut mengambil bahagian.

Pada masa sama, Abdul Malik berkata, penganjuran kali ini yang diadakan pada penghujung musim dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Kebangsaan (UCI) menjadi antara faktor ‘membawa’ kesemua pasukan itu menyertai LTdL 2022.

“Kalendar dari Januari hingga Julai (pada ketika ini) penuh dengan kejohanan World Tour. Jadi kalau nak selit dalam bulan itu, memang sukar. Perkara sebeginilah yang kita boleh buat perubahan, kita perlu melihat kepada mana yang lebih sesuai dengan kita,” jelasnya.

Mengenai tarikh dan perubahan lain yang dilakukan pada edisi kali ini seperti siaran langsung ke 70 buah negara, Abdul Malik berkata, pihaknya berharap penganjur seterusnya dapat mengikuti langkah pembaharuan itu demi kelangsungan LTdL di pentas antarabangsa.

“Kita sudah cuba melakukan pembaharuan tetapi terpulang kepada mereka. Mereka mempunyai analisis tersendiri dan kita tak boleh desak perkara sebegini. Saya harap tanda aras yang diletakkan ini dapat dilihat mereka pada edisi akan datang,” jelasnya.

Selepas kali pertama diberikan kepercayaan menganjurkan LTdL edisi ke-20 pada 2015, Human Voyage diberikan kontrak selama tiga tahun untuk menjadi hos LTdL bermula 2019, 2020 dan 2022, namun penganjuran edisi 2021 ditunda susulan pandemik Covid-19.