PRU15: UMS sedia beri pelepasan pelajar pulang mengundi

Kasim (empat kiri) dan rombongan UMS bergambar bersama Tun Juhar (tengah) dalam kunjungan di Istana Seri Kinabalu, Kota Kinabalu.
Kasim (empat kiri) dan rombongan UMS bergambar bersama Tun Juhar (tengah) dalam kunjungan di Istana Seri Kinabalu, Kota Kinabalu.
A
A
A


KOTA KINABALU - Universiti Malaysia Sabah (UMS) sedia untuk memberi pelepasan khas kepada pelajarnya untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Canselor, Profesor Datuk Kasim Mansor berkata, UMS menggalakkan kesemua pelajar untuk menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara Malaysia sekali gus membolehkan jumlah pengundian meningkat.

"Bagaimanapun, masih belum ada perbincangan berkaitan kemudahan pengangkutan dan logistik pada ketika ini apatah lagi ia memerlukan kos yang tinggi hingga mencecah jutaan ringgit.



“Namun, kita bersedia memberi ruang atau cuti kepada mereka untuk balik mengundi di kawasan masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas sesi kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, di sini, pada Rabu.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr Rasid Mail; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Madya Dr Raman Noordin, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Ir Dr Rosalam Sarbatly dan Pendaftar, Luqman Ridha Anwar.

Dalam pada itu, Kasim berkata, UMS juga sentiasa bersedia memberi pandangan yang bersifat akademik melalui pakar-pakar yang sedia ada berhubung situasi semasa menjelang PRU15.

"Sebagai institusi pengajian tinggi, kita memberi pandangan berdasarkan analisis ilmiah dan berprinsip tanpa menyebelahi mana-mana pihak,” jelas beliau.

Sebelum itu, dalam kunjungan berkenaan Kasim turut memaklumkan Tun Juhar berkenaan pendaftaran pelajar baharu selain menjemput beliau hadir ke Majlis Anugerah Penyelidik UMS pada Khamis depan dan Majlis Konvokesyen Kali Ke-24 yang akan berlangsung pada 10 hingga 12 Disember ini.

Artikel Berkaitan: