Lapan stesen LRT, MRT terpilih projek perintis RSP

Azmi (tengah) merasmikan projek perintis RSP di MRT Kampung Batu, Kuala Lumpur pada Rabu.
Azmi (tengah) merasmikan projek perintis RSP di MRT Kampung Batu, Kuala Lumpur pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak lapan buah stesen Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT) terpilih sebagai pusat respons asas kecemasan awal menerusi Rapid KL Safety Point (RSP).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, inisiatif itu dapat meningkatkan keyakinan pengguna pengangkutan awam serta membantu mengurangkan kejadian jenayah di premis pengangkutan awam.

"Sebagai permulaan sebanyak lapan stesen terlibat dalam projek rintis ini dengan paparan pelekat khas menandakan stesen berkenaan menawarkan bantuan kecemasan kepada mereka yang memerlukan," katanya pada sidang akhbar di Stesen MRT Kampung Batu, di sini, pada Rabu.

RSP melibatkan stesen MRT Kampung Batu, stesen LRT dan MRT Pasar Seni, Stesen LRT Masjid Jamek (Laluan Kelana Jaya dan Laluan Ampang), Stesen LRT KL Sentral, Stesen LRT KLCC dan Stesen MRT Bukit Bintang.

Mohd Azharuddin berkata, projek rintis itu akan diperluaskan ke 147 stesen yang berada di bawah kendalian Prasarana.

"Keseluruhannya, kita ada 900 pegawai polis bantuan dan di setiap stesen akan ditempatkan tiga hingga lima orang yang terdiri daripada pegawai barisan hadapan yang akan memberikan bantuan kecemasan kepada penumpang," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, sejak awal Januari hingga Oktober lalu, sebanyak 261 kes jenayah dilaporkan berlaku di kawasan pengangkutan awam di ibu negara antaranya kes cabul, curi kenderaan dan ragut.

"Kita menyasarkan lapan hingga 12 peratus kadar jenayah di pengangkutan awam dapat dikurangkan," katanya.

Azmi berkata, jalinan kerjasama itu turut membantu pihak berkuasa membanteras jenayah sejajar hasrat kerajaan mahu menjadikan pusat bandar selamat dan selesa.

Artikel Berkaitan:

"Peranan dan tanggungjawab Rapid KL menerusi program ini adalah memberi kemudahan seperti rawatan kecemasan kepada pengguna yang memerlukan bantuan, menyediakan tempat untuk mangsa, menghubungi pihak polis dan hospital untuk mendapatkan ambulan sekiranya mangsa mengalami kecederaan," ujarnya.