Sertai UMNO bukan mahu jadi calon PRU15: Najib

Najib (tengah) bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (kiri) dalam satu pertemuan di Iskandar Puteri.
Najib (tengah) bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (kiri) dalam satu pertemuan di Iskandar Puteri.
A
A
A

MUAR - [DIKEMAS KINI] Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Pasir, Najib Lep menafikan tindakannya menyertai UMNO kerana mahu menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tegas Najib, penyertaannya dalam UMNO juga bukan kerana merajuk tidak dicalonkan Pas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac lalu.

Menurut Najib, beliau memilih parti itu dan secara rasmi menjadi ahli UMNO cawangan Selancar dalam bahagian Pagoh di sini pada 1 Mei lalu kerana merasakan perjuangan UMNO dengan Pas sama.

“Pas dan UMNO sudah berkawan sejak tertubuhnya Muafakat Nasional (MN), jadi saya rasa serasi dan lihat perjuangan UMNO sama sahaja dengan Pas iaitu untuk agama, bangsa dan tanah air.

“Kalau kata Pas letak Islam di hadapan perjuangan mereka, begitu juga dengan UMNO yang meletak bangsa dan agama sebagai asas perjuangan mereka,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Pada Selasa, Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed mengesahkan Najib kini merupakan ahli UMNO cawangan Selancar dan bekas ADUN itu akan menghantar 60 orang yang berminat untuk menjadi ahli UMNO selain bercadang untuk menubuhkan cawangan baharu di Hub Universiti Pagoh.

Pada 27 Februari lalu, keahlian Najib dalam Pas dilaporkan terbatal secara automatik susulan bertanding sebagai calon Bebas di DUN Bukit Pasir pada PRN Johor.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan Najib bertentangan dengan arahan dan keputusan parti.

Artikel Berkaitan:

Pada PRN itu, calon BN, Mohamad Fazli Mohamad Salleh memenangi kerusi DUN Bukit Pasir dengan memperoleh 6,048 undi menewaskan Najib, 59, yang mendapat 1,860 undi dan calon Pas, Nur Iqbal Abd Razak (5,850) serta tiga calon lain.

Najib berkata, beliau tidak memilih parti lain seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana ideologi perjuangan dibawa Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah bertentangan dan berbeza sama sekali dengan UMNO atau Pas.

“Saya masuk UMNO bersama-sama isteri dan anak kerana ikhlas kepada ALLAH SWT. Saya masuk UMNO selepas beberapa bulan tidak menyertai mana-mana parti.

"Saya ucapkan terima kasih kepada Ketua UMNO Bahagian Pagoh atas sokongan dan memajukan penerimaan saya serta keluarga menjadi ahli UMNO," katanya.

Selain itu, beliau mahukan parti yang lebih baik untuk meneruskan perjuangan dan karier politiknya.

Ditanya sekiranya dicalonkan UMNO pada PRU15, beliau yang kini berusia 59 tahun menganggapnya itu sebagai rezeki dan ‘kerja’ ALLAH SWT.