Tiada elemen kongsi gelap kuasai pasar borong: Mazlan

Datuk Seri Mazlan Lazim
Datuk Seri Mazlan Lazim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada elemen penglibatan kongsi gelap menguasai pasar borong di sekitar ibu negara, sebaliknya hanya segelintir pihak yang mengambil kesempatan terhadap peniaga di kawasan pasar berkenaan, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim.

Beliau berkata polis telah menjalankan siasatan di kawasan Pasar Borong Selayang dan mendapati sehingga semalam, tidak pernah menerima sebarang laporan polis mengenai penglibatan kongsi gelap dalam kawasan pasar borong itu.

"...yang kami dapati hanyalah pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan ke atas peniaga di kawasan pasar borong dengan menyewakan kanopi atau tapak kepada peniaga dengan sejumlah bayaran bulanan. Kadar sewaan diambil dalam lingkungan RM1,200 hingga RM1,500 sebulan.

"Selain itu, polis juga mendapati ada pihak tertentu menjalankan kutipan harian berjumlah RM40 sehari dan jika tuntutan mereka tidak dibayar oleh peniaga maka pihak terlibat akan mengugut dan melaporkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan penguatkuasaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, sebuah akhbar tempatan menyiarkan berita yang mendakwa 'Kongsi Gelap Kuasai Pasar Borong', melibatkan Pasar Borong Selayang.

ARTIKEL BERKAITAN: Kongsi gelap kuasai pasar borong akan terus dibongkar

Mazlan berkata hasil siasatan, polis menahan seorang lelaki tempatan berumur 31 tahun disyaki terlibat dengan unsur pemerasan terhadap beberapa peniaga sejak 2017 hingga sekarang.

"Selain itu, dua suspek turut dikenal pasti menjalankan kegiatan pemerasan di kawasan itu dan tindakan mengesan suspek sedang dibuat. Siasatan dibuat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan itu diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999, bilik gerakan khas 24 jam Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur di talian 03-21460670 atau mana-mana balai polis berhampiran. -Bernama