Guna pendekatan 'Hallyu' untuk tarik pelancong: Nancy

Nancy - Foto Bernama
Nancy - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Malaysia boleh belajar daripada fenomena ‘Hallyu’ atau Gelombang Korea yang dibawa Korea Selatan bagi mempromosikan industri pelancongan negara, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata, sejak 20 tahun lepas, Korea Selatan sudah mula mempromosikan Hallyu menerusi drama, filem dan muzik pop popular mereka.

Katanya, pendekatan itu terbukti berjaya apabila pada hari ini Korea Selatan sangat dikenali di seluruh dunia, sekali gus menimbulkan minat pelancong untuk ke negara itu.

"Malah lokasi penggambaran drama atau filem Korea Selatan turut dipromosikan oleh mereka. Kita di Malaysia juga ada beberapa lokasi penggambaran terkenal tetapi kurang dipromosikan.

"Kita di pihak kementerian sedia membantu untuk tujuan promosi tetapi mereka yang berada di kawasan itu juga harus merebut peluang itu,” katanya semasa berucap pada sesi townhall Youth in Tourism 2022 di sini, pada Selasa.

Seramai 300 peserta terdiri daripada pelajar institut pengajian tinggi awam dan swasta, pengusaha produk pelancongan dan penggiat pertubuhan bukan kerajaan, hadir pada acara itu yang antara lain membincangkan cabaran serta solusi bagi mengukuhkan industri pelancongan.

Sementara itu, Nancy menggesa penggiat industri itu untuk mempelajari teknologi terkini bagi mempromosikan produk mereka.

"Sebagai contoh, kita boleh belajar menggunakan algoritma di media sosial untuk mendapat capaian yang lebih terbaik.

Artikel Berkaitan:

"Kita semua juga mesti berinovatif dalam mengetengahkan idea baharu lebih dinamik, bersesuaian dengan kehendak dan keperluan semasa, untuk menarik lebih ramai pelancong antarabangsa ke Malaysia,” katanya. - Bernama