Asnaf sertai kursus refleksologi bantu jana pendapatan

Rohizan (tiga dari kanan) menyerahkan Kit Permulaan Perniagaan kepada peserta yang menyertai kursus refleksologi dan urutan bergerak menerusi program Proper A di Ipoh.
Rohizan (tiga dari kanan) menyerahkan Kit Permulaan Perniagaan kepada peserta yang menyertai kursus refleksologi dan urutan bergerak menerusi program Proper A di Ipoh.
A
A
A

IPOH - Seramai 20 asnaf menjalani kursus refleksologi dan urutan bergerak menerusi Program Pemerkasaan Ekonomi Asnaf (Proper A) 2022 berazam untuk keluar daripada kesusahan hidup dengan memiliki perniagaan sendiri.

Ibu tunggal, Maznah Madon, 56, berkata, inisiatif itu memberi ruang kepadanya untuk mengembangkan kerjaya sebagai 'tukang urut' demi menyara kehidupan bersama enam anaknya.

"Sebelum ini saya mengurut tradisional di kawasan Sitiawan dengan menggunakan kaedah 'lama'. Hanya orang yang mengenali akan hubungi saya dan ia tidak dijalankan secara meluas. Jadi, pendapatan saya tidak menentu mengikut pelanggan.

"Dengan mengikuti program ini, saya dapat menimba ilmu bukan sahaja menambah baik skop kerja tetapi dapat mengembangkan kerjaya hanya di hujung jari," katanya.

Dia ditemui pada Program Penyerahan Kit Permulaan Perniagaan yang disempurnakan oleh Pengurus Besar Agihan Zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Rohizan Omar di sini pada Isnin.

Bagi bekas pekerja kilang, Mior Samsul Mior Ariffin, 32, berkata, penyertaan dalam program Proper A itu diharapkan dapat merealisasi impiannya memiliki perniagaan sendiri sekali gus menjadi seorang muzakki (pengeluar zakat).

Menjadi ketua isi rumah sudah tentu saya memikul tanggungjawab besar dalam membesarkan ketiga-tiga anak saya. Bermula dengan kosong (tiada pengalaman) saya menyertai program yang ditawarkan untuk golongan asnaf.

"Dengan kit perniagaan yang diterima saya berusaha menerokai bidang refleksologi. Dalam program ini, MAIPk turut bantu memperkenalkan agensi-agensi lain yang sedia membantu mengembangkan perniagaan ini nanti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Seramai 20 peserta terdiri daripada golongan asnaf menyertai program.Proper A sebagai permulaan untuk miliki perniagaan sendiri.
Seramai 20 peserta terdiri daripada golongan asnaf menyertai program.Proper A sebagai permulaan untuk miliki perniagaan sendiri.

Program Proper A berkenaan bertujuan membuka peluang kepada golongan asnaf untuk meningkatkan sosioekonomi dalam bidang perniagaan dan kemahiran.

Akademi D'Alam dilantik MAIPk bagi memberikan perkhidmatan bimbingan dan latihan keusahawanan kepada kesemua peserta yang berusia 21 hingga 60 tahun itu melibatkan kelas praktikal dan amali sebelum disusuli dengan pemantauan secara bersemuka serta dalam talian.

Ahli Perniagaan, Rosdziah Zainudin berkata, peserta dari seluruh negeri itu telah diajar dengan pelbagai ilmu pengetahuan bagi membolehkan mereka menjana pendapatan secara konsisten.

"Beberapa tahun lalu, saya pernah menjadi sebahagian asnaf sebelum menceburi bidang perniagaan. Pengalaman selama 23 tahun dalam industri spa dicurahkan agar peserta dapat meningkatkan taraf hidup mereka sendiri.

"Program ini bukan sahaja melibatkan praktikal tetapi kita beri penekanan dari aspek pembinaan jati diri, komuniti sosial dan sahsiah peribadi selain menjalankan aktiviti pemantauan serta penyeliaan di peringkat lapangan," katanya.