Sri Pahang tak gentar reputasi Terengganu

Sri Pahang giat mempersiapkan skuad mantap menjelang saingan Piala Malaysia menentang TFC minggu depan. Foto FB Sri Pahang FC
Sri Pahang giat mempersiapkan skuad mantap menjelang saingan Piala Malaysia menentang TFC minggu depan. Foto FB Sri Pahang FC
A
A
A

SRI Pahang akan memanfaatkan tempoh seminggu untuk memantapkan pasukan bagi mengharungi cabaran menentang naib juara Liga Super, Terengganu FC (TFC) pada pusingan pertama Piala Malaysia.

Jurulatih Sri Pahang, Datuk Dollah Salleh berkata, diundi bertemu TFC tidak mengganggu persediaan skuad Tok Gajah untuk menghadapi kempen piala berprestij tersebut.

"Terengganu berada pada prestasi terbaik apabila menamatkan saingan di kedudukan kedua dan antara pasukan yang kuat musim ini.

"Namun, saya percaya Sri Pahang mampu memberi tentangan selepas mula mempamerkan peningkatan prestasi pada dua perlawanan terakhir Liga Super.

"Pemain mula mencapai tahap yang diinginkan dan prestasi itu diharap dapat dikekalkan apabila berdepan Terengganu nanti," katanya.

Berdasarkan jadual perlawanan, pusingan pertama Piala Malaysia dijangka bermula pada 25 dan 26 Oktober ini.

Sri Pahang yang berdepan dengan prestasi hambar termasuk pertukaran jurulatih pada pertengahan musim, menamatkan saingan Liga Super di tangga ketujuh.

Peningkatan corak permainan pada dua perlawanan terakhir termasuk menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) 2-0 pada Sabtu skuad Tok Gajah mampu melakar kejutan pada kempen Piala Malaysia edisi ini.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun skuad Tok Gajah perlu memperkemaskan benteng pertahanan yang lazimnya mudah melakukan kesilapan terutama pada penghujung aksi.

Penyudah jentera serangan yang semakin tajam bakal memberikan kelebihan buat Sri Pahang apabila berdepan TFC nanti.

Justeru, sentuhan penyerang terbanyak Sri Pahang, Steven Rodriguez yang menjaring sembilan gol sudah pasti menjadi sandaran untuk merobek gawang skuad Penyu bimbingan Nafuzi Zain.