Langgar injunksi Mareva, Jho Low, bapa dihukum penjara

Jho Low (kiri) dan bapanya, Tan Sri Larry Low Hock Peng (kanan) - Foto Bernama
Jho Low (kiri) dan bapanya, Tan Sri Larry Low Hock Peng (kanan) - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin menjatuhi hukuman penjara terhadap ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dan bapanya, Tan Sri Larry Low Hock Peng berhubung tindakan menghina mahkamah kerana melanggar terma injunksi Mareva.

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz mengeluarkan waran komital itu selepas peguam, Siva Kumar Kanagasabai mewakili Syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya, memulakan prosiding menghina terhadap kedua-dua individu tersebut.

Dua beranak itu gagal mematuhi injunksi Mareva yang diperoleh 1MDB dalam saman berjumlah AS$3.7837 bilion terhadap mereka dan empat pihak lain.

Bagaimanapun, mahkamah tidak menyatakan tempoh pemenjaraan bagi Jho Low dan Hock Peng.

Mahkamah sebelum ini menetapkan Isnin, untuk prosiding pendengaran permohonan 1MDB agar kedua-duanya dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana melanggar terma injunksi Mareva.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Siva Kumar mengesahkan keputusan permohonan syarikat pelaburan strategik negara itu, agar Jho Low dan bapanya dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana melanggar terma injunksi.

Menurutnya, mereka akan dihukum penjara sehingga tindakan menghina mahkamah disingkirkan.

Pada 25 Mei lalu, Sinar Harian melaporkan, Jho Low dan bapanya gagal untuk mengetepikan perintah mahkamah yang menghalang mereka daripada memindahkan atau melupuskan mana-mana aset mereka di Malaysia, masing-masing berjumlah AS$1.03 bilion dan AS$401.5 juta.

Artikel Berkaitan:

Hayatul Akmal menolak permohonan Jho Low dan Hock Peng untuk mengetepikan injunksi Mareva yang diperoleh 1MDB dan satu daripada anak syarikatnya.

Mahkamah turut memerintahkan dua individu itu supaya mematuhi perintah pendedahan inter-parte Mareva (aset dan lokasi mereka) dalam tempoh 14 hari selepas perintah itu disampaikan melalui peguam mereka.

Pada 15 Mac lalu, Hayatul Akmal membenarkan permohonan injunksi Mareva oleh 1MDB dan anak syarikatnya, Global Diversified Investment Company Limited (dahulunya dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited), yang merupakan plaintif pertama dan kelima dalam saman 1MDB terhadap Jho Low, bapanya serta beberapa individu lain.

Injunksi Mareva merupakan perintah sementara yang menghalang Jho Low dan bapanya selaku defendan daripada melupuskan aset sehingga keputusan dicapai dalam kes antara plaintif dan defendan.

Injunksi itu juga mengehadkan Jho Low dan bapanya daripada membelanjakan tidak lebih daripada RM20,000 sebulan bagi setiap perbelanjaan sara hidup dan perbelanjaan guaman.

Jjika mereka mahu amaun yang lebih, perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada peguam-peguam 1MDB dan Global Diversified.

Pada 7 Mei 2021, 1MDB dan empat anak syarikatnya iaitu Global Diversified, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited, memfailkan saman AS$3.7837 bilion terhadap Jho Low; bapanya; ibunya, Puan Sri Goh Gaik Ewe; kakak Jho Low, May Lin dan adik lelakinya, Taek Szen serta rakan sekutunya, Eric Tan Kim Loong.