Ramai bekerja sendiri belum daftar SKSPS

Mohammed Azman - Foto Sinar Harian/HALIM WAHID
Mohammed Azman - Foto Sinar Harian/HALIM WAHID
A
A
A

PETALING JAYA - Orang Bekerja Sendiri (OBS) diberi tempoh sehingga hujung bulan ini untuk mendaftar dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sempena Bulan Pemutihan SKSPS 2.0.

Ops pemutihan itu bermula 1 hingga 31 Oktober ini memberi tumpuan kepada golongan OBS dalam dua sektor mandatori atau yang wajib mendaftar Perkeso iaitu Sektor Pengangkutan Penumpang dan Sektor Pengangkutan dan Penghantaran Barangan atau Makanan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz berkata, masih ramai lagi OBS dalam sektor berkenaan belum tampil untuk berbuat demikian.

“Setakat ini seramai 3,600 yang sudah berdaftar tetapi masih ramai yang masih belum mendaftar setakat 15 Oktober ini.

“Ops pemutihan ini memberi peluang kepada mereka untuk tampil mendaftar dan kita memang tekankan. Kalau kita berlembut masih ramai lagi yang tidak mendaftar,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman SKSPS Untuk Ejen Penghantar Makanan antara McDonald’s Malaysia dan Perkeso di Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia di sini pada Isnin.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal dan Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar.

Mohammed Azman berkata, kegagalan OBS dalam dua sektor berkenaan untuk mendaftar dan mencarum SKSPS boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) jika disabit kesalahan.

"Perkeso memberi peluang dan tidak akan mengeluarkan Notis Amaran SKSPS kepada golongan itu yang tampil mendaftar dan mencarum SKSPS secara sukarela, sebelum atau pada 31 Oktober ini.

Artikel Berkaitan:

“Kita ada dua minggu lagi dan berharap mereka yang bekerja sendiri dalam sektor berkenaan tampil mendaftar. Kalau tidak pegawai penguat kuasa akan mengesan dan melaksanakan keperluan (tindakan) berdasarkan akta sedia ada.

“Kita tidak mahu berbuat demikian, kita mahu menggalakkan jadi sila tampil mendaftar dan mencarum SKSPS,” kata beliau.

Difahamkan sehingga 27 September lalu, seramai 322,371 OBS aktif bagi dua sektor mandatori berkenaan sudah berdaftar dan mencarum SKSPS.

Bulan pemutihan yang dilaksanakan sebelum ini iaitu dari 1 hingga 31 Mei 2022 meningkatkan kesedaran OBS iaitu bagi Sektor Pengangkutan Penumpang, terdapat peningkatan melebihi 100 peratus kepada 33,992 OBS yang berdaftar dan mencarum SKSPS pada Mei 2022 berbanding 2,425 OBS pada bulan April 2022.

Bagi Sektor Pengangkutan dan Penghantaran Barangan atau Makanan, terdapat peningkatan melebihi 100 peratus kepada 37,014 OBS yang berdaftar dan mencarum pada Mei 2022 berbanding 3,192 OBS pada bulan April 2022.