'Siapkan dulu Jambatan Palekbang'

Gambar kiri menunjukkan lakaran Jambatan Palekbang yang dijangka siap pada 2025 manakala gambar kanan pula ialah batu asas dibina pada 1996 sebagai tanda pembinaan Jambatan Palekbang.
Gambar kiri menunjukkan lakaran Jambatan Palekbang yang dijangka siap pada 2025 manakala gambar kanan pula ialah batu asas dibina pada 1996 sebagai tanda pembinaan Jambatan Palekbang.
A
A
A

TUMPAT - Lebih dua dekad menunggu pembinaan Jambatan Palekbang membuatkan penduduk di sini bukan sahaja 'muak' malah ragu dengan janji-janji manis yang dilemparkan sejak tahun 1996.

Malah ada dalam kalangan penduduk beranggapan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 9 September lalu semasa merasmikan Laman Warisan Kampung Laut, di sini masih belum mampu meyakinkan sehinggalah projek itu siap dan boleh digunakan oleh orang ramai.

Bagi Mohd Rosdi Che Zakaria, 56, yang merupakan antara orang lama di Kampung Palekbang berkata, sebagai penduduk dia sudah 'penat' untuk meletakkan harapan projek itu akan menjadi kenyataan.

Mohd Rosdi menunjukkan keratan akhbar tentang pembinaan Jambatan Palekbang yang ditampal di dinding kedai kopinya.
Mohd Rosdi menunjukkan keratan akhbar tentang pembinaan Jambatan Palekbang yang ditampal di dinding kedai kopinya.

"Hal ini selepas kerajaan negeri meletakkan batu asas (pada tahun 1996) sampai sekarang hanya khabar berita sahaja yang didengar.

"Biar projek pembinaan bermula dan siap baru kami boleh rasa gembira," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Mengimbau semula kenangan itu, dia yang merupakan pemilik kedai kopi di Palekbang berkata, semasa kerja-kerja meletakan batu asas usianya ketika itu sudah mencecah 30 tahun.

Katanya, walaupun kini dia menghampiri usia emas, pembinaan jambatan itu masih belum menjadi realiti.

"Entah sempat atau tidak hendak menikmati kemudahan Jambatan Palekbang yang dijangka siap pada tahun 2025 nanti.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun sebagai penduduk setempat, saya menyambut baik pembinaan jambatan sepanjang empat kilometer itu.

"Saya yakin dan percaya dengan siapnya pembinaan jambatan ini, ia mampu merancakkan ekonomi penduduk di sekitar Palekbang," katanya.

Kakitangan swasta, Musa Ibrahim, 38, yang berasal dari Kepulauan Tumpat berkata, mereka sudah lama menantikan projek itu siap kerana ia dapat mengurangkan kesesakan serta menjimatkan masa untuk berulang-alik dari Tumpat ke Kota Bharu.

Musa Ibrahim
Musa Ibrahim

Tambahnya, sekarang ini hanya ada Jambatan Sultan Yahya Petra sahaja yang digunakan oleh orang ramai sehingga mereka terpaksa berdepan kesesakan yang teruk setiap hari.

"Sebagai rakyat yang sudah lama menanti kemudahan itu (jambatan), saya harap pembinaan projek tersebut dapat disegerakan sebagaimana diumumkan sebelum ini.

"Jangan tidak jadi sudahlah sebab jambatan ini merupakan satu keperluan kepada penduduk di sekitar Pelekbang dan Kepulauan Tumpat," katanya

Sementara itu jurujual, Alysa Maisarah Anuar Zamani, 18, berkata, sebagai anak muda dia sudah tidak sabar untuk melihat Jambatan Palekbang disiapkan.

Alysa Maisarah
Alysa Maisarah

Dia yang juga penduduk Kampung Palekbang menjelaskan, Tumpat mempunyai banyak destinasi menarik untuk dilawati dan ia boleh menjadi mercu tanda di kawasan ini selain Kampung Laut dan lain-lain.

Sinar Harian pada 9 September lalu melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan projek pembinaan Jambatan Palekbang sepanjang empat kilometer menghubungkan Kota Bharu dengan Tumpat, akan bermula hujung tahun ini selepas penantian selama 26 tahun.

Jambatan Palekbang merupakan projek di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dengan kos RM250 juta.

Rancangan untuk membina Jambatan Palekbang-Kota Bharu bermula sejak 1996, bertujuan untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas setiap kali musim perayaan terutamanya di kawasan Tumpat dan Kota Bharu.