[VIDEO] Wetrom belum hantar surat peletakan jawatan: Hajiji

Hajiji ketika ditemui pemberita pada program Jelajah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Parlimen Kota Marudu.
Hajiji ketika ditemui pemberita pada program Jelajah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Parlimen Kota Marudu.
A
A
A

KOTA MARUDU - Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor belum menerima sebarang surat peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau, Datuk Wetrom Bahanda.

Beliau bagaimanapun mengakui ada mendengar dakwaan Wetrom keluar daripada Bersatu melalui media sosial.

"Kita sebenarnya belum lagi menerima peletakan jawatan beliau dari parti Bersatu. Saya sebagai Ketua Pimpinan Bersatu Negeri belum menerima sebarang surat lagi.

"Tetapi kita dengar dan melihat kepada media sosial, nampak macam begitulah," katanya kepada pemberita selepas hadir pada program Jelajah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Parlimen Kota Marudu di Dewan Komuniti di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita berhubung dakwaan Wetrom yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri keluar daripada Bersatu dan menyertai Parti Warisan (Warisan).

Sementara itu, ditanya jika tindakan Wetrom akan melemahkan Bersatu, Hajiji yang juga Pengerusi GRS yakin bahawa Bersatu Bahagian Kota Marudu tetap kukuh.

"Saya yakin Bersatu Bahagian Kota Marudu ini tetap akan wujud dan berjuang bersama-sama parti-parti komponen GRS di Kota Marudu ini.

"Seperti yang saya nyatakan penyokong ahli-ahli Bersatu di Kota Marudu ini akan menyokong calon daripada GRS yang diletakkan di sini.

Artikel Berkaitan:

"Saya melihat GRS ini satu gabungan yang agak kuat dan diterima oleh rakyat, jadi saya yakin kekuatan itu masih utuh di Kota Marudu ini terutama sekali di kawasan Kota Marudu ini," katanya.

Jelasnya lagi, dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) milik Parti Bersatu Sabah (PBS) dan satu DUN Bandau dari Bersatu.

"Di kawasan Kota Marudu ini kita ada tiga DUN dan dua adalah diwakili PBS dan satu Bandau Bersatu, Jadi di Bandau pun penyokong Bersatu akan tetap kekal bersama perjuangan Bersatu dan menyokong GRS," tegasnya.

Sebelum itu dalam ucapannya, Hajiji memberi bayangan penyandang kerusi Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dikekalkan sebagai calon di kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, perbincangan akan dilakukan bagi meletakkan Maximus sebagai calon Parlimen Kota Marudu.

"Tiada masalah itu, dia seorang pemimpin yang berpengalaman, antara yang begitu hebat memperjuangkan Sabah ini di peringkat Persekutuan.

"Kita mahu satu pemimpin yang dihormati oleh peringkat Persekutuan, membawa apa juga permasalahan dan hal-hal berkaitan Sabah.

"Datuk Dr Maximus terbukti kalau orang cakap sumbangan di Kota Marudu ini tidak banyak, itu adalah satu kesilapan. Kita boleh nampak sendiri bagaimana Kota Marudu dulu yang hanya satu dua buah kedai, kini sudah jadi beratus kedai di sini," katanya.