Cabaran Shah Firdaus di Perancis berakhir

Muhammad Shah Firdaus
Muhammad Shah Firdaus
A
A
A

CABARAN pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2022 di Saint-Quentin-en-Yvelines, Perancis berakhir selepas tersingkir dalam pusingan pertama acara pecut lelaki individu, pada Sabtu.

Pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel Birmingham 2022 dalam acara keirin lelaki tewas dengan perbezaan masa +0.073 saat (s) kepada wakil Jepun, Kaiya Ota dalam kejohanan yang berlangsung di Velodrom Nasional, venue sama untuk Sukan Olimpik Paris 2024 nanti.

Ota yang melintasi garisan penamat dengan catatan masa 10.272s akan berhadapan Rayan Helal selepas pelumba Perancis itu merekodkan 10.028s untuk menewaskan seorang lagi pelumba Jepun, Kento Yamasaki.

Sabtu lepas, Shah Firdaus gagal mara dalam final keirin lelaki selepas menamatkan saringan pertama separuh akhir di kedudukan keenam.

Pelumba berasal dari Johor itu memulakan kempen dengan langkah kiri Rabu lepas selepas beliau dan dua lagi rakan sepasukan Muhammad Fadhil Mohd Zonis dan Muhammad Ridwan Sahrom mengakhiri kelayakan acara pecut berpasukan lelaki di tempat ke-11 daripada 17 negara peserta dan gagal untuk berada dalam kelompok pasukan lapan terbaik untuk mara ke pusingan pertama.

Kejohanan lima hari itu berakhir Ahad. - Bernama

Artikel Berkaitan: