Waris mangsa kemalangan terima faedah Perkeso

Farihah Che Husin (kanan) menyerahkan cek bayaran Faedah Pengurusan Mayat bernilai RM2,000 kepada ibu mangsa, Rohana Muda, di Bukit Payong, Marang, semalam. (Gambar kecil: Keratan akhbar Sinar Harian siaran 5 April lalu)
Farihah Che Husin (kanan) menyerahkan cek bayaran Faedah Pengurusan Mayat bernilai RM2,000 kepada ibu mangsa, Rohana Muda, di Bukit Payong, Marang, semalam. (Gambar kecil: Keratan akhbar Sinar Harian siaran 5 April lalu)
A
A
A

KUALA TERENGGANU- Waris kepada mangsa kemalangan maut di Jalan Kampung Bukit, Chendering, di sini, pada Rabu lalu, menerima bayaran faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) semalam, selepas didapati mangsa merupakan Orang Berinsuran (OB) dengan Perkeso.

Pengarah Perkeso Terengganu, Farihah Che Husin berkata, waris kepada Mohamad Khairul Izuan Ariff, 22, yang disahkan meninggal dunia kerana kemalangan itu menerima bayaran Faedah Pengurusan Mayat iaitu sebanyak RM2,000 dan juga Faedah Pencen Penakat seumur hidup kepada ibunya, Rohana Muda, 49.

"Bagaimanapun, jumlah bayaran bagi Faedah Pencen Penakat yang layak diperoleh oleh si ibu masih dalam kiraan pihak kami," katanya selepas penyerahan Faedah Pengurusan Mayat kepada waris mangsa di kediaman mereka di Bukit Payong, Marang, semalam.

Menurut Farihah, pihaknya kini dalam usaha bagi menyerahkan faedah Perkeso kepada seorang lagi mangsa yang maut dalam kejadian itu, Mohamad Zulfahmi Faisal Mohd Marzuki, 25.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.10 malam itu, kedua-dua mangsa yang bekerja di kilang elektronik Aptiv di Chendering, di sini, maut selepas motosikal ditunggang bertembung di lokasi kejadian.

Sementara itu, Farihah berkata Perkeso Terengganu membayar RM4.1 juta faedah kepada pencarum yang layak bagi tempoh sukuan pertama tahun ini.

Jelasnya, bayaran itu membabitkan 1,095 kes bagi faedah pembayaran termasuk pencen penakat, pencen ilat, hilang upaya, selain pencen faedah orang tanggungan dan pengurusan mayat.

Artikel Berkaitan: