Jalaluddin sedia pertahankan Parlimen Jelebu

Jalaluddin
Jalaluddin
A
A
A

JELEBU - Ketua UMNO Bahagian Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias bersedia mempertahankan kerusinya di Parlimen Jelebu sekiranya diberi kepercayaan sekali lagi oleh parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Malah beliau memaklumkan akan menawarkan diri untuk meneruskan khidmat sebagai Ahli Parlimen di kawasan tersebut kerana telah dipilih oleh parti untuk bertanding mewakili BN pada PRU14 yang lalu.

"... Dan Insya-ALLAH sekiranya diberi kepercayaan oleh parti sekali lagi, saya akan teruskan khidmat saya untuk masyarakat di Parlimen Jelebu kerana pelbagai perkara yang akan kita lakukan untuk kepentingan masyarakat pelbagai kaum dan bangsa di sini.

"Saya percaya rakyat mahukan rancangan yang lebih dinamik dan inklusif untuk kesejahteraan mereka pada lima tahun yang akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas selesai Majlis Pelancaran Jentera BN PRU15 P126 Parlimen Jelebu di Simpang Pertang di sini pada Sabtu.

Jalaluddin (empat kiri) sedia pertahankan kerusinya di Parlimen Jelebu.
Jalaluddin (empat kiri) sedia pertahankan kerusinya di Parlimen Jelebu.

Dalam perkembangan berlainan, Jalaluddin yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, UMNO bahagian Jelebu menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob sebagai calon Perdana Menteri ke-10 sekiranya BN memenangi PRU15.

"Sokongan itu diputuskan dalam mesyuarat UMNO Bahagian Jelebu yang diadakan di Kompleks UMNO Jelebu tengah hari tadi (Sabtu). Keputusan itu senada dengan mesyuarat MKT UMNO yang sebelum itu sudah membuat ketetapan mengenai perkara berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Keputusan memilih Datuk Seri Ismail Sabri adalah kesinambungan daripada apa yang diputuskan dalam mesyuarat MKT yang sudah membuat keputusan sebelum ini.

"Ini keputusan parti yang kemudian disambut oleh akar umbi dalam kita membuat satu kemuafakatan demi kebaikan UMNO bagi menghadapi PRU kali ini," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pencalonan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri tidak perlu dipersoalkan kerana yang penting keputusan parti perlu diterjemahkan menjadi kenyataan.

"Setakat ini keputusan mencalonkan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri adalah muktamad dan ia disokong oleh UMNO Bahagian Jelebu," katanya.