[VIDEO] PRU15: Calon BN Johor perlu lalui tapisan

Hasni - Foto Bernama
Hasni - Foto Bernama
A
A
A

PONTIAN - Calon BN yang akan bertanding di semua 26 kerusi Parlimen di Johor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu melalui beberapa tapisan sebelum nama dimuktamadkan.

Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, tapisan yang perlu dilalui calon itu merupakan proses penting bagi memastikan hanya calon terbaik dapat dipilih sebagaimana pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac lalu.

Katanya, UMNO Johor akan bertanding di 17 kerusi Parlimen, MCA (lapan) dan MIC (satu) selain meletakkan sasaran untuk menang 16 hingga 20 kerusi yang dipertandingkan pada PRU15.

"Pada PRN Johor lalu, sebanyak empat pusingan pembentangan atau tapisan senarai calon dibuat BN negeri kepada pucuk pimpinan parti.

"Kita ada pengalaman muktamadkan calon BN pada PRN lalu dan ia akan dijadikan pengajaran supaya lebih teliti selain tegas dalam memuktamadkan calon Johor," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Mesyuarat UMNO Bahagian Pontian di Dewan UMNO Pontian di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Setiausa Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pontian.

Dalam pada itu Hasni yang juga Pengarah Pilihan Raya BN Johor berpandangan parti itu perlu menunggu keputusan PRU15 sebelum memutuskan sama ada Pas diperlukan bagi memperkuatkan penyatuan ummah menerusi Muafakat Nasional (MN) atau sebaliknya.

Artikel Berkaitan:

"Pas ini seperti nasi tambah, banyak songeh. Sekejap nak dengan kita (UMNO), sekejap tak nak.

"Penyudahnya Pas ini jadi macam 'nasi tambah' sahaja. Maksudnya jika kita dah kenyang (cukup kerusi tubuh kerajaan) kita berhentilah (tidak bekerjasama)," katanya.

Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas pada Khamis dilaporkan membuat ketetapan untuk terus memperkukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRU15.

Keputusan yang dimaklumkan sendiri oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebaik selesai mesyuarat tersebut jelas menunjukkan bahawa partinya dan UMNO akan memilih haluan sendiri serta tidak akan bekerjasama dalam pilihan raya yang disifatkan terpenting ini.