'Pilih PN bukan bermakna Muafakat Nasional sudah berkubur'

Ahmad Samsuri (tengah) cuba menaiki sebuah motosikal yang dipamerkan ketika program T-Bikers Kemah Keming 2022 - 1st Gathering, Kuala Terengganu pada Sabtu.
Ahmad Samsuri (tengah) cuba menaiki sebuah motosikal yang dipamerkan ketika program T-Bikers Kemah Keming 2022 - 1st Gathering, Kuala Terengganu pada Sabtu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Muafakat Nasional (MN) masih belum berkubur walaupun Pas memilih Perikatan Nasional (PN) sebagai sekutu menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, peluang sentiasa terbuka untuk Pas dan UMNO meneruskan kerjasama selepas PRU15 nanti.

"Kalau hayati kuliah semalam, kita boleh faham bahawa MN bukan berkubur tapi kita ambil nafas agak panjang atas sebab-sebab tertentu dalam MN, bukan bermakna ia terus terkubur dan letak batu nisan.

"Macam-macam perkara boleh berlaku lepas PRU nanti jadi tidak ada pihak yang dikuburkan dalam hal ini," katanya selepas merasmikan T-Bikers Kemah Keming 2022 - 1st Gathering di sini pada Sabtu.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan Pas menangguhkan dahulu kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam PRU15 kerana masih terdapat 'kekeruhan' dalam parti itu.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, antara 'kekeruhan' yang dimaksudkan ialah masih terdapat kes melibatkan penerima rasuah yang belum selesai.

Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, individu berintegriti tinggi merupakan salah satu kriteria utama yang akan dipilih oleh Pas untuk menjadi calon parti itu bertanding pada PRU15 nanti.

Menurut beliau yang juga Menteri Besar Terengganu, mempunyai pengetahuan luas dan hubungan baik dengan masyarakat juga antara ciri-ciri penting yang turut dinilai Pas untuk mewakili parti tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Pas bertanding PRU15 bersama Perikatan Nasional (PN) bukan untuk jadi pembangkang, kita ingin menjalankan tanggungjawab memerintah bersama sebagai sebuah kerajaan.

"Jadi sudah tentu calon yang ingin kita pilih harus merangkumi pelbagai kriteria bukan sahaja ketua kepada masyarakat tapi ada ciri-ciri tertentu," katanya.

Ahmad Samsuri berkata, PN dijangka menyelesaikan pembahagian kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kalangan parti komponennya sebelum pertengahan minggu depan sebagai persiapan menghadapi PRU15.

Katanya, semua negeri dan kawasan juga sudah diminta menyerahkan senarai calon pilihan untuk dinilai serta dipilih dalam mesyuarat khas itu nanti.