Veteran tentera bersedia hadapi banjir

Zambery menandatangani plak rumah yang diterima oleh balu bekas veteran ATM, Allahyarham Mat Resad Salleh iaitu Maznah Mamat, 46.
Zambery menandatangani plak rumah yang diterima oleh balu bekas veteran ATM, Allahyarham Mat Resad Salleh iaitu Maznah Mamat, 46.
A
A
A

TUMPAT - Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) akan memainkan peranan lebih aktif jika berlaku bencana banjir di negara ini.

Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral Zambery Jeffery Darus berkata, sehingga kini terdapat lebih 240,000 veteran ATM di seluruh negara.

Bagaimanapun katanya, daripada jumlah itu, tidak semua yang masih aktif membantu kerana kekangan kesihatan dan faktor lain.

"Kita akan pastikan menerima maklumat awal dan menjalankan fungsi menyampaikan bantuan kepada mangsa yang memerlukan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Perumahan Veteran ATM (Bina Baharu) Peringkat Negeri Kelantan di sini, pada Sabtu.

Menurut Zambery, ada veteran yang tidak mampu mengendalikan operasi banjir tetapi boleh melaksanakan koordinasi bersama agensi lain bagi melancarkan proses bantuan.

Dalam sidang akhbar sama, beliau memberitahu, JHEV memperuntukkan RM4.95 juta untuk projek perumahan Veteran ATM di seluruh negara tahun ini.

Katanya, peruntukan itu melibatkan 151 buah rumah untuk baik pulih dan 31 bina baharu.

Artikel Berkaitan:

Zambery ( tiga dari kanan) ketika melawat rumah Maznah (kanan).
Zambery ( tiga dari kanan) ketika melawat rumah Maznah (kanan).

"Sebanyak RM85,000 untuk pembinaan rumah baharu tetapi RM65,000 disumbangkan oleh JHEV manakala selebihnya subsidi oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB)," katanya.

Tambah beliau, ia merupakan usaha Kementerian Pertahanan bertujuan menjaga kebajikan veteran anggota tentera yang memerlukan.

Justeru, beliau meminta lebih 60,000 veteran ATM mendaftar sebagai ahli supaya dapat menikmati semua manfaat hang disediakan kepada persatuan.

Katanya, pendaftaran sebagai ahli membolehkan persatuan mengesan kesukaran dan masalah yang dihadapi bekas anggota tentera.

"Kami sentiasa bersedia membantu ahli yang memerlukan, mengelakkan mereka terpinggir dan menerima faedah yang disediakan kerajaan," katanya.

Pada majlis berkenaan, Zambery menyampaikan kunci rumah kepada balu bekas veteran ATM, Allahyarham Mat Resad Salleh iaitu Maznah Mamat, 46.