Nasib Nafuzi diketahui dua minggu lagi

Nafuzi Zain
Nafuzi Zain
A
A
A

KEPUTUSAN sama ada pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain kekal mengendalikan pasukan pantai timur itu pada musim depan berkemungkinan bakal diketahui dalam tempoh dua minggu lagi.

Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ketika ini pihaknya masih belum lagi mempunyai keputusan muktamad berhubung kedudukan jurulatih muda itu.

Jelas beliau, kedudukan jurulatih yang sudah tiga musim membimbing skuad Penyu itu akan dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd.

"Berhubung kedudukan jurulatih TFC (Nafuzi), kita tengok perkembangan semasa apa yang berlaku, macam pasaran saham ada turun naik, apa jua kita akan tangani dengan cara yang terbaik perkembangan itu sama ada positif ataupun negatif.

"Namun setakat ini belum ada apa-apa lagi keputusan berhubung kedudukan jurulatih itu kerana kita tidak mahu memberi tekanan tertentu dalam keadaan sekarang.

"Kedudukan jurulatih itu (kekal ataupun sebaliknya) akan dibincangkan pada 25 Oktober ini dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan trofi kepada pasukan Besut FA selepas berjaya merangkul kejuaraan dalam Liga Bolasepak Terengganu (TFL) 2022 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada Jumaat.

Sementara itu ketika ditanya berkenaan ganjaran yang bakal diberikan kepada pemain TFC sekiranya layak beraksi di pentas Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) musim depan, Samsuri berkata, perkara tersebut akan turut dibincangkan kelak.

Artikel Berkaitan:

"Apabila ada pencapaian tertentu termasuk layak ke saingan Piala AFC, akan ada sesuatu insentif yang bakal diberikan kepada pemain, namun kami belum bincang lagi bentuk insentif itu," katanya.

Untuk rekod, TFC kini berada di kedudukan ketiga liga selepas mengumpul 41 mata dalam 21 perlawanan liga dibezakan hanya dengan jaringan gol berbanding pasukan di kedudukan keempat iaitu Negeri Sembilan FC.