G57 beri tumpuan tujuh kawasan 'hitam'

Zulkarnain ketika ditemui pemberita di Kota Kinabalu.
Zulkarnain ketika ditemui pemberita di Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) menyenaraikan sekurang-kurangnya tujuh kerusi Parlimen sebagai kawasan 'hitam' yang perlu dibantu jenteranya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, G57 menyasarkan 15 hingga 20 peratus pengundi atas pagar dari kawasan hitam untuk menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) dalam PRU kali ini.

"G57 sebenarnya sebuah badan sukarelawan untuk membantu rakyat di akar umbi untuk menyuarakan hak mereka dan sebab itu kita tampil walaupun sasaran kita hanya dalam 15 hingga 20 peratus pengundi untuk tarik mereka.

"Sasaran kita ini adalah di kawasan hitam contohnya Parlimen Semporna, Sepanggar, Kota Belud, Tenom, Papar, Putatan dan kawasan-kawasan pengundi Cina seperti Tawau dan sebagainya," katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Tambah beliau lagi, kawasan yang disenaraikan itu adalah bukan milik GRS-BN namun G57 percaya dengan rekod terbaik GRS-BN memerintah kerajaan Sabah akan mampu meraih pengundi di kawasan berkenaan.

"Saya cukup yakin bahawa kerusi-kerusi seperti di Sepanggar, Kota Belud, Tenom, Putatan dan sebagainya insya-ALLAH kembali kepada GRS-BN, cuma kita harap mereka dapat duduk semeja berbincang dari hati ke hati supaya tidak berlaku pertembungan.

"Diharap wujudnya persefahaman antara GRS-BN dan mereka telah bersetuju tidak akan bertembung sesama mereka kerana menghormati atas dasar mereka membentuk kerajaan Sabah," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap dengan bantuan daripada jenteranya akan dapat mengubah minda penyokong khususnya Warisan agar mengundi GRS-BN.

Artikel Berkaitan:

"Jentera kita terdapat lebih 200 orang di seluruh Sabah tetapi tumpuan kita di kawasan hitam dan diharap dapat membawa undi kepada GRS-BN," katanya.