[VIDEO] 501 PATI bertempiaran lari, gudang diserbu imigresen

Antara PATI yang ditahan dalam operasi penguatkuasaan di Shah Alam pada Jumaat.
Antara PATI yang ditahan dalam operasi penguatkuasaan di Shah Alam pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Suasana tenang di sebuah pusat pengisihan di Seksyen 22 di sini bertukar kecoh apabila ratusan buruh asing bertempiaran lari cuba menyelamatkan diri apabila digempur Jabatan Imigresen Malaysia pada Jumaat.

Menyedari kehadiran penguat kuasa, pendatang asing tanpa izin (PATI) yang sedang duduk berehat berhampiran pintu ruang punggah cuba melarikan diri ke arah pintu belakang premis, mencetuskan suasana panik di dalam gudang milik sebuah syarikat penghantaran tempatan terbabit.

Ada antara mereka yang cuba bersembunyi di sebalik timbunan guni, di dalam tandas malah sekumpulan PATI lelaki cuba menyorok di bahagian siling pejabat menyebabkan ia roboh.

Timbalan Pengarah (Kawalan) Imigresen Selangor, Tarmizi Talib Ali berkata, operasi penguatkuasaan itu dijalankan susulan aduan awam dan berjaya menahan seramai 501 PATI yang bekerja di premis berkenaan.

"Seramai 501 warga asing dikesan antaranya 318 warga India, 62 warga Indonesia, 16 warga Nepal, 15 warga Bangladesh, 11 warga Myanmar dan seorang warga Sri Lanka.

"Semua warga asing berkenaan ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi serbuan di sini awal pagi Sabtu.

Sementara itu, rata-rata buruh asing yang ditemui mengaku baru bekerja beberapa bulan di premis berkenaan dengan kadar bayaran RM80 ke RM100 sehari dengan syif bekerja selama enam ke 12 jam.

Seorang wanita warga Indonesia berusia lingkungan 40-an yang ditemui berkata, dia mampu memperoleh pendapatan bulanan lebih RM2,000 bekerja mengasingkan sekitar 1,000 bungkusan sehari selama lima ke enam hari seminggu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Tarmizi berkata, premis berkenaan belum pernah diserbu sebelum ini dan keseluruhannya seramai 614 individu diperiksa dalam serbuan itu termasuk 113 warga tempatan.

"Semua warga asing terbabit ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Kita akan panggil pemilik premis untuk siasatan lanjut dan ambil tindakan kerana membenarkan pekerja tanpa dokumen sah bekerja di premis milik mereka," tegas beliau.