Guardiola tabik Liverpool lawan hebat

Guardiola tetap menghormati Liverpool sebagai lawan yang kuat. - Foto Agensi
Guardiola tetap menghormati Liverpool sebagai lawan yang kuat. - Foto Agensi
A
A
A

BIARPUN Manchester City berada di puncak prestasi, Pep Guardiola tetap menghormati Liverpool menjelang pertemuan kedua-dua pasukan di Anfield pada Ahad.

Liverpool yang dibimbing Jurgen Klopp meletakkan The Reds antara pasukan hebat dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak beberapa tahun lalu.

"Ia adalah pengurus dan pasukan yang sama. Kami akan cuba mengelak daripada melalui detik yang buruk. Ia adalah adat pertandingan," ujar Guardiola.

City terlepas satu-satunya kejuaraan liga kepada Liverpool pada musim 2019/20 sejak lima musim lalu.

Bagaimanapun, prestasi Liverpool setakat ini dengan hanya dua kemenangan dalam lapan perlawanan membolehkan City mempunyai kelebihan 13 mata ke atas anak buah Klopp.

"Pemain sendiri tahu kerana sejak beberapa tahun lalu kami sering bersaing di semua pertandingan dan semua gelaran.

"Ia sangat sengit dan kami lebih baik sedikit dalam saingan domestik," kata Guardiola.

Kemunculan Erling Haaland di City menyaksikan tugas lebih sukar bagi pasukan lain termasuk Liverpool untuk merampas gelaran daripada anak buah Guardiola.

Artikel Berkaitan:

Haaland sudah meledak 20 gol dalam 12 perlawanan kompetitif dengan 15 daripadanya adalah sepanjang sembilan perlawanan EPL.

Pemain Norway itu berada pada prestasi terbaik untuk diturunkan di Anfield selepas Guardiola meletakkannya di bangku simpanan ketika City seri 0-0 dengan FC Copenhagen pada aksi Liga Juara-Juara minggu lalu.