'Dalam bola sepak sebarang kemungkinan boleh berlaku'

Kim Swee
Kim Swee
A
A
A

SABAH FC bakal berdepan misi sukar untuk kekal berada dalam kelompok tiga teratas Liga Super apabila memerlukan kemenangan ketika bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ismail pada Sabtu.

Ia kerana Sabah FC yang ketika ini menduduki tangga kedua Liga Super dengan 42 mata selepas 21 perlawanan berdepan risiko terlepas slot ke Piala AFC musim depan seandainya dipintas oleh Terengganu FC dan Negeri Sembilan FC, yang kedua-duanya hanya ketinggalan satu mata, masing-masing di tangga ketiga dan keempat.

Bagi pengendali skuad Badak, Datuk Ong Kim Swee, meskipun mengakui ia misi sukar untuk meraih kemenangan, namun beliau yakin ia bukan mustahil jika pemain-pemainnya berjaya menampilkan prestasi dan semangat sama ketika menentang Sri Pahang FC baru-baru ini.

“Sabah wajib menang pada perlawanan terakhir ini. Ia bukan tugas mudah untuk tumbangkan JDT di laman sendiri.

“Namun, ia bukan mustahil kerana dalam bola sepak sebarang kemungkinan boleh berlaku,” katanya.

Sabah FC akan beraksi tanpa empat orang pemain iaitu Park Tae-soo yang digantung perlawanan selepas menerima kad kuning ketika menentang Sri Pahang FC, selain Jackson de Souza, Jose Embalo dan Nazirul Naim yang masih cedera.

Artikel Berkaitan: