28 tan daging kerbau dari India dirampas

No Image Caption
A
A
A

BUTTERWORTH - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang merampas 28 tan daging kerbau sejuk beku dari India bernilai RM270,000 kerana maklumat pada sijil kesihatan dan sijil halal dikeluarkan negara pengeksport mengelirukan.

Pengarahnya, Muhammad Ikram Abd Talib berkata, penguat kuasa Maqis menjalankan pemeriksaan ke atas 1,167 kotak produk ruminan itu di Pelabuhan Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) pada Rabu sebelum merampasnya untuk siasatan lanjut.

"Pemeriksaan awal mendapati keseluruhan dagangan tersebut menggunakan maklumat mengelirukan iaitu maklumat pada sijil kesihatan dan sijil halal yang dikeluarkan dari negara pengeksport adalah tidak tepat serta berbeza.

"Penggunaan maklumat pada sijil halal dan sijil kesihatan yang tidak tepat serta mengelirukan akan disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728)," katanya dalam kenyataan malam Jumaat.

Katanya, pihak Maqis sentiasa melakukan pemeriksaan keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar, serta mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan. - Bernama

Artikel Berkaitan: